Tarik Selampit, Awang Batil di Tokyo

Oleh: Nissa’ Yusof
BH, 15 Ogos 2015

 

Apabila didengar raja punya negeri
memanggil kepada diri dia
dia pun bingkas bangun;
ambil kain, selit bahu
ambil golok, selit pinggang
lekas turun, lama-lama berjalan
sampai depan raja.

PENONTON menyaksikan Tarik Selampit mendendangkan lagu Hikayat Raja Budak bersama alunan rebab di Tokyo, baru-baru ini.

LAGU Hikayat Raja Budak di atas didendangkan oleh Tarik Selampit bersama alunan rebab di hadapan penonton di Tokyo, baru-baru ini. Melalui Dana Seni Budaya PETRONAS yang diterima oleh Nusa Centre, saya bersama SM Zakir membawa Che Mat Jusoh selaku Tarik Selampit dan pemain wayang kulit ke Tokyo untuk program jelajah budaya yang turut disertai oleh Romli Mahmud yang bertindak sebagai Awang Batil dan menerima geran sendiri melalui dana yang sama.

Dalam kerangka zaman teknologi, budaya lisan yang popular dalam masyarakat pratulisan dilihat sebagai tradisi yang melambangkan pemikiran naif sehingga tidak hairanlah budaya lipur lara tidak lagi menjadi tarikan dalam masyarakat kita kini.

Penglipur lara dalam nama lain disebut sebagai Tarik/Tok Selampit (Kelantan) dan Awang Batil (Perlis) adalah khazanah budaya yang semakin dilupakan. Justeru, usaha PETRONAS untuk mengambil tanggungjawab dengan memperkenalkan Dana Seni Budaya ini wajar dipuji.

ANTARA tetamu yang hadir menyaksikan persembahan Tok Selampit.

Sepanjang jelajah lima hari di Tokyo, empat program diatur oleh Mutiara Arts Production dengan kerjasama Hati Malaysia, PACOMO dan ODD Pictures. Apa yang menarik, program yang disusun memberi pendedahan budaya Melayu kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Program kami pada hari pertama adalah di Minami Osawa After School Care Center, Hachioji. Pusat penjagaan selepas waktu persekolahan itu membuka ruang kepada pelajar meluaskan pengetahuan mereka di luar sekolah. Di sini, Che Mat Jusoh dan Romli membuat persembahan ringkas untuk memperkenalkan tradisi Tarik Selampit dan Awang Batil kepada pelajar.

Peserta masih dapat menikmati seni dan budaya walaupun terhalang oleh perbezaan bahasa. Alunan alat muzik, gaya bercerita dan intonasi suara yang unik dalam kedua-dua persembahan ini dapat menarik mereka untuk terus menumpukan perhatian.

Bengkel membuat patung wayang kulit pada hari kedua juga dianjurkan untuk memberi fokus kepada penyertaan kanak-kanak. Acara yang diadakan di Katsushika Symphoni Hills, Katsushika itu dimulakan dengan persembahan wayang kulit di samping ruangan kecil yang disusun mempamerkan patung wayang kulit.

Peserta dari kalangan pelajar bersama penjaga masing-masing kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diberi tugasan untuk membuat patung wayang kulit tersendiri berdasarkan cerita rakyat tempatan.

Pembabitan aktif ibu bapa bersama anak-anak di dalam aktiviti berkumpulan sebegini menjadi pemandangan yang menarik bagi saya. Selain mendapat pendedahan berkenaan budaya luar, masa berkualiti yang dikongsi bersama pastinya memberi kenangan berharga kepada mereka. Secara tidak langsung, aktiviti ringkas sebegini juga bakal menumbuhkan sikap menghormati budaya asing di dalam diri mereka.

Berbeza daripada aktiviti yang lebih santai sebelumnya, program yang berlangsung pada hari ketiga dan keempat memfokuskan penikmat seni dan khalayak yang lebih serius.

Pada hari ketiga, kami bergerak ke kafe kecil di daerah Nakano. Ruangan belakang kafe diatur menjadi dewan persembahan dan ruang untuk ceramah umum. Tarik Selampit dan Awang Batil membuat demonstrasi pendek diikuti pembentangan ringkas yang disampaikan oleh Aki Uehara daripada Mutiara Arts Production untuk memperkenalkan kedua-dua tradisi ini.

Penganjuran acara bersifat keilmuan dan juga persembahan seni di kafe bukanlah sesuatu yang baru bagi kita di Malaysia, khususnya di sekitar Kuala Lumpur. Selain mewujudkan suasana tidak formal yang memudahkan proses perkongsian ilmu, pendekatan sebegini memberi akses yang lebih mudah kepada khalayak untuk membabitkan diri dalam acara seni yang selalu dikelaskan bersifat eksklusif dan tertutup.

Sebaiknya penganjuran program yang berpusat di kafe seperti ini diluaskan lagi dengan aktiviti seni dan persembahan kebudayaan seperti Tarik Selampit dan Awang Batil untuk mendekatkan tradisi yang semakin hilang ini kepada masyarakat umum, khususnya golongan muda di sekitar ibu kota.

PERSEMBAHAN lagu Hikayat Raja Budak dengan diiringi alat muzik rebab.

Perjalanan singkat kami di Tokyo ditutup dengan malam persembahan di Asahi Art Square di daerah Asakusa yang dibuat dalam skala yang lebih besar. Lampu dewan dimalapkan dan Tarik Selampit membuka acara dengan cerita Raja Budak bersama alunan rebab yang memikat hati para penonton.

Acara disambung dengan persembahan Kodanshi, budaya bercerita masyarakat Jepun yang membawakan cerita Awang Akar Lara dengan gaya beliau sendiri dalam bahasa tempatan. Menyampaikan cerita yang sama, Romli kemudian mengambil pentas dengan persalinan lengkap memainkan peranan Awang Batil bersama peralatannya.

Hulubalang kelam-kabut
berjalan keluar kota
berjalan sikit, banyak berlari
hingga tumit cecah punggung
siku berlaga dengan ketiak
jambul tercacak di tengah kepala.
Riuh rendah gegak gempita
panggil pembesar berhimpun di istana
raja dah mangkat
pakat mesyuarat
lantik Awang jadi raja.

REAKSI penonton begitu positif walaupun baru pertama kali menonton persembahan Tarik Selampit mahu pun Awang Batil.

Reaksi yang diberikan oleh penonton begitu positif walaupun rata-ratanya memang baru pertama kali menonton persembahan Tarik Selampit mahupun Awang Batil.

Sekilas pandang sepanjang enam hari program jelajah Tarik Selampit dan Awang Batil di Tokyo, saya tidak dapat menafikan perasaan kagum kepada masyarakat Jepun yang menghormati budaya dan tradisi asing. Hal ini tidak begitu selari dengan apa yang saya temui ketika berjalan di sekitar kota besar ini di luar waktu program.

Semuanya kelihatan begitu laju di kota ini. Seperti seluruh bandar mengejar tempat di dalam Shinkansen yang menerobos sempadan menuju kemajuan. Ketika ini mereka tidak lagi terlihat sebagai bangsa yang mampu bernostalgia mahupun berhenti seketika untuk menikmati angin musim.

Seiring perjalanan waktu, kita juga harus membawa tradisi merentasi zaman baharu. Realisme magis di dalam cerita rakyat seperti yang dibawakan oleh Tarik Selampit dan Awang Batil harus didengari lebih luas, di luar konteks hiburan semata-mata. Begitulah kehebatan hikayat – kemegahan istana, kesaktian raja, putera puteri yang tampan jelita dan bahagia pada pengakhir cerita – yang tidak lagi tersimpan di hujung lagu, tetapi sudah mengembara jauh ke luar sempadan kota.

Menyedari keperluan ini, Nusa Centre ditubuhkan sebagai Pusat Kajian Budaya dan Sains untuk mewujudkan keyakinan bahawa budaya dan sains adalah bidang yang saling mendokong serta memperkuat antara satu sama lain. Budaya harus bergerak seiring dengan sains dalam mewujudkan sebuah tamadun yang tulen. Teknologi yang lahir daripada sains yang ditunjangi budaya akan membentuk hasil yang tulen dan berperibadi.

PROFIL: Penulis ialah Koordinator Program Nusa Centre.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *