HANYUT; Wacana Balas Timur Terhadap Barat

Oleh: S.M. Zakir

dibincangkan dalam sesi Post-truth 1
4 Disember 2016
Born & Bread Cafe, Kuala Lumpur

Klik di sini untuk muat turun kertas kerja penuh

Orientalisme (Edward Said 1978) mungkin sebuah pemikiran klasik dalam melihat hubungan Barat dan Timur, khususnya dalam era kolonialisme dan sudut pandang pascakolonialisme. Pada abad baharu setelah berlakunya gelombang globalisasi dan revolusi teknologi maklumat, sudut pandang orientalisme yang melihat hubungan tidak setara Barat sebagai superior dan Timur inferior yang didefinisikan sebagai ‘self and others’ menjadi dokumentasi peristiwa yang lampau. Walaupun muncul penilaian kembali hubungan Barat-Timur melalui sudut pandang pascakolonialisme, yang sepertikan mengangkat kembali hubungan tidak setara Barat-Timur atau dikotomi ‘self and others’ dalam bentuk pengaruh tidak nampak (intangible influence) sehingga mewujudkan istilah comprador (Antonio Gramsci), yakni kaum peribumi yang mengambilalih tempat penjajah untuk menindas bangsanya sendiri dengan perangai dan tingkahlaku ‘tuan lamanya’ (penjajah/kolonial) (Franz Fanon 1963); tetapi sudut pandangan pascakolonialisme ini juga tidak dapat memenuhi definisi hubungan muktahir Barat-Timur secara tepat. Sudut pandang pascakolonialisme ini juga mengambil pemikiran-pemikiran abad ke-20, sama munculnya dengan pemikiran tentang orientalisme.

Muncul definisi-definisi baharu tentang hubungan Barat-Timur, tetapi mula memecahkan pengasingan dikotomi superior-inferior. Hubungan pihak yang menjajah dan pihak yang terjajah setelah berakhirnya era kolonialisme mula dilihat sebagai hubungan positif yang saling menyumbang kepada pembinaan ruang budaya baharu. Hal ini dinyatakan oleh Homi K. Bhabha (1994) yang menyifatkan pembauran antara budaya Barat dan Timur kesan daripada tinggalan kolonialisme dan pascakolonialisme memunculkan ruang baharu yang disebut sebagai ruang ketiga. Di dalam ruang ketiga ini pembauran budaya antara Barat dan Timur dari era lampau berbaur lagi dengan budaya global yang datang daripada gelombang pasaran bebas globalisasi. Akhirnya berlaku perlakuran budaya dan mewujudkan ciri-ciri budaya baharu yang lebih bersifat sejagat atau global. Perlakuran yang terus berlangsung sehingga mewujudkan kebaharuan demi kebaharuan, yang berjalan sangat deras akhirnya mewujudkan budaya hibrid (Marwan M. Kraidy 2005). Hubungan Barat dan Timur bukan lagi dikotomi ‘self and others’ atau hubungan tidak setara superior dan inferior, tetapi hubungan setara yang saling melakur dan berlakur sehingga mewujudkan budaya baharu dengan sifat dan rupa yang baharu – mengambil setiap ciri budaya dunia yang berpengaruh. Teknologi maklumat menjadi pemangkin kepada kebaharuan budaya yang akhirnya membawa suatu bentuk budaya hibrid.

Sebahagian daripada pendapat ini dapat dilihat sebagai realiti yang hadir pada hari ini, dan satu kebenaran yang dapat diterima. Tetapi sebahagian daripada pandangan-pandangan lama yang dianggap klasik seperti menyikapi orientalisme yang dikemukakan oleh Edward Said, masih mempunyai guna terhadap beberapa keadaan tertentu. Malah dalam era kebangkitan semula romantisme baharu Barat hari ini yang sepertikan menjulang kembali ‘Great White’ sepertimana yang terlihat daripada peristiwa Brexit dan pemilihan Trump sebagai Presiden di Amerika Syarikat – hubungan setara yang ingin dibawa oleh pandangan neutral kemungkinan tertembok kepada suasana baharu yang mengembalikan semula semangat-semangat superior yang lama. Namun begitu, wacana ini menghindar daripada menyikapi fikiran-fikiran yang bersifat spekulasi, sebaliknya melihat secara langsung dan spesifik terhadap wacana teks yang muncul dalam filem Hanyut. Apa yang dinyatakan adalah memberikan sedikit latar belakang dalam menyikapi wacana yang muncul dalam filem Hanyut – sekaligus guna menolak pandangan yang mungkin menyatakan ia sebagai wacana masa lampau. Sepertimana yang diketahui, filem Hanyut yang diarahkan oleh U-Wei Haji Shaari ini diangkat daripada novel Almayer’s Folly karya Joseph Conrad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *