Sisa yang Mati dari TURAH

Seekor katak apabila diletakkan dalam air mendidih akan melakukan sesuatu yang tidak terfikirkan oleh manusia. Apakah katak ini akan lari. Tidak, katak ini tidak akan lari. Sebaliknya apa yang katak ini perbuat ialah menyesuaikan dirinya dengan suhu air. Sedikit demi sedikit suhu air meningkat, dan katak akan kekal di situ menyesuaikan dirinya sehingga air terlalu panas dan katak itu mati. Maka soalannya apakah yang membunuh katak itu. Air yang mendidih atau katak itu sendiri. Kita akan mengatakan yang membunuh katak itu ialah air. Sekali lagi tidak. Apa yang membunuh katak itu ialah sikap dan mentaliti katak itu sendiri yang tidak mahu keluar dan mengubah nasibnya daripada keadaan tersebut. Sebaliknya katak ini akan kekal di dalam air mendidih dengan berusaha menyesuaikan dirinya dengan suhu yang panas sehingga ia tidak dapat lagi menerima kepanasan dan mati. Dalam psikologi sindrom ini disebut sebagai ‘Boiling Frog Syndrome’. Sindrom ini memakan diri mereka yang tidak mahu keluar dan berubah walau seseksa mana mereka berada di dalam keadaan itu.

Turah, sebuah filem Indonesia terbitan tahun 2015 yang diarahkan oleh Wicaksono Wisnu Legowo dan ditayangkan di Kuala Lumpur Film School 20 Januari 2018 yang lepas, memperlihatkan sindrom Boiling Frog Syndrome dalam masyarakat Kampung Tirang di Kota Tegal. Penduduk Kampung Tirang adalah mereka yang bergantung hidup di atas pekerjaan yang diberikan oleh Darso, pengusaha dan kapitalis tempatan. Penduduk kampung sekian lama bekerja dengan Darso dengan bayaran upah yang tidak setimpal. Malah ada pula Pakel yang menjadi orang tengah mencuri lagi hasil upah pekerja. Tidak ada siapa yang berani menyuarakan penderitaan mereka kerana mereka adalah manusia yang tidak berpelajaran dan bergantung sepenuhnya kepada kerja mereka dengan Darso. Dalam kata lain pekerja iaitu penduduk Kampung Tirang diperhambakan oleh kapitalis seperti Darso. Ia adalah perhambaan moden yang masih berleluasa dalam kekuasaan kapitalisme.

Di kalangan penduduk kampung muncul Jadaq, seorang lelaki kurus sering tidak berbaju, bangun untuk menyedarkan penduduk kampung tentang nasib mereka diperhambakan oleh Darso dan dicekik oleh Pakel. Jadaq berkawan baik dengan Turah, lelaki pemerhati yang sering sabar menerima penderitaan dan kemiskinan. Jadaq agresif sementara Turah pasif. Jadaq menghasut perlawanan, sehingga akhirnya bertentang dengan Darso sendiri. Tetapi penduduk kampung yang takut hilang sumber kebergantungan mereka mula tidak menyenangi Jadaq, dan Jadaq mula tersisih dan dijauhi oleh penduduk kampung. Darso menjadi marah dengan Jadaq, juga dengan penduduk kampung yang diwakili Jadaq. Kemarahan Darso bagi penduduk kampung adalah kesusahan dan bencana kepada mereka. Mereka tidak berani mengambil risiko itu, dan menerima implikasi kemarahan Darso.

Turah juga mula memarahi Jadaq yang dianggap menyusahkan penduduk kampung yang bergantung hidup kepada Darso. Jadaq yang tersisih, bersendirian dan tidak berdaya menerima bermacam kemelut. Penduduk kampung menyisihinya, keluarganya ditimpa kemelut, dan Jadaq yang mencabar Pakel dipenjara kerana bergaduh. Jadaq keluar dari penjara dan pulang ke rumahnya, anak dan isterinya entah ke mana. Pada malam hujan lebat itu Jadaq dikeronyok di rumahnya. Turah melihat Jadaq dikeronyok tetapi diugut, membuatkan Turah lari keluar dari kampung bersama anak isterinya di tengah malam hujan lebat. Esoknya mayat Jadaq ditemui tergantung di pokok. Penduduk Kampung Tirang kembali hidup seperti biasa, menjalani perhambaan daripada Darso dengan kemiskinan yang tidak bernoktah. Turah adalah nama watak naif dan pasif yang bermain di dalam filem ini. Turah tegak sebagai pemerhati dan penerima perisiwa yang pasif, kemudian lari daripada menyatakan kebenaran. Tetapi ‘turah’ dalam Bahasa Jawa juga bermakna ‘sisa’. Filem ini bertutur sepenuhnya dalam Bahasa Jawa, menurut sumber ia adalah Bahasa Jawa ngapak iaitu Bahasa Jawa bawahan.

Persepsi yang ingin dilihat di sini ialah bagaimana sebuah masyarakat yang telah lumpuh jiwa dan jasad mereka oleh kemiskinan dan perhambaan yang sekian lama sudah kehilangan sepenuhnya daya untuk berubah, untuk keluar daripada kemiskinan dan perhambaan. Ia boleh dilihat bagaimana kekuasaan berdiri setelah melumpuhkan masyarakat dengan menjadikan masyarakat itu bergantung kehidupan ekonomi mereka sepenuhnya kepada kekuasaan. Darso adalah kapitalis dan juga kekuasaan. Penduduk Kampung Tirang adalah subjek kekuasaan Darso, yang memeras, mendapat keuntungan dan semakin berkuasa. Penduduk Kampung Tirang terus diperhamba, diperas malah ditakutkan sehingga jiwa, fikiran dan jasad mereka lumpuh. Dalam masyarakat yang sebegini, seorang yang cuba mengubah dan menyedarkan mereka seperti Jadaq akhirnya akan disingkirkan kerana pertamanya, mereka tidak mampu untuk menanggung risiko dan implikasi tindak balas kekuasaan ke atas mereka dan keduanya, fikiran mereka sendiri juga telah lumpuh untuk berfikir dan mereka hanya hidup sepasif mungkin untuk menerima. Kekuasaan sentiasa hidup dan bernyawa di atas kekalahan begini.

Turah adalah sebuah realpolitik tentang bagaimana kekuasaan yang autokratik boleh berlangsung lama, sebenarnya muncul di sini tanpa sedar. Ia memperlihatkan Boiling Frog Syndrome yang membuatkan kekuasaan dan penindasan terus dapat berlaku dalam banyak keadaan di dunia ini. Penggunaan bahasa masyarakat bawahan dalam Turah yang dipenuhi kata lucah juga adalah sesuatu yang menarik untuk dilihat dari sudut psikoanalitiknya. Kata-kata kasar, lucah dan makian adalah sebuah eskapisme masyarakat yang tertekan dan terkurung lalu melepaskan tekanan mereka melalui bahasa yang menimbulkan kelegaan di saraf otak mereka. Pada hakikat sebenarnya mereka memaki dan mencemuh diri mereka sendiri. Tetapi seperti katak dalam air yang mendidih, mereka tetap tidak akan keluar dan akan menyesuaikan diri dengan kemiskinan dan perhambaan seboleh mungkin sehingga ke akhir hayat mereka. Dalam realpolitik, kehadiran dan pengekalan kekuasaan berlaku dengan wujudnya sindrom tidak mahu berubah dalam masyarakat yang dikuasai. Lebih miskin dan lumpuh masyarakat maka akan lebih berkuasa kekuasaan.

Boiling Frog Syndrome ini berlaku ke atas mana-mana masyarakat yang dilumpuhkan oleh kemiskinan dan kebergantungan, pada waktu dan zaman yang berterusan sehingga hari ini. Tetapi Boiling Frog Syndrome ini juga boleh berlaku kepada masyarakat yang dilumpuhkan oleh keselesaan yang juga melahirkan kebergantungan.

Kita memahami sebuah realpolitik di sini, mungkin tanpa disedari oleh pengarahnya sendiri. Pada masa yang sama melihat kita dan masyarakat kita sendiri, apakah juga sindrom katak di dalam air yang mendidih?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *