Johan Tinju & Peluru

Agiluf kesatria berbaju besi dalam angkatan Charlemagne tidak pernah membuka baju dan topeng besinya kerana di dalam baju besi itu sebenarnya tidak ada apa-apa. Kosong tanpa tubuh manusia. Ketika Charlemagne memeriksa barisan dan tidak dapat lagi menahan marahnya kerana Agiluf tidak menunjukkan rasa hormat untuk membuka penutup topi besi menunjukkan wajahnya, Agiluf menjawab di sebalik topi besinya, “Tuanku, saya tidak wujud.” Charlemagne memaksa Agiluf membuktikannya, lalu Agiluf membuka penutup muka topi besinya. Ternyata topi besi itu lompong tanpa wajah.

            “Lalu bagaimana kamu menjalankan tugas jika kamu tidak wujud?” tanya Charlemagne.

Agiluf menjawab, “Dengan kemahuan dan kepercayaan terhadap perjuangan kita yang suci.”

Agiluf kesatria Charlemagne yang merupakan baju besi yang kosong, berjuang tanpa tidur dan tanpa makan. Ia tidak berhenti di situ sahaja, tetapi mereka bertemu pula dengan Gurduloo yang mengikut gelagat itik dan menyerupakan dirinya sebagai itik. Gurduloo percaya bahawa dia adalah seekor itik. Kemudian Gurduloo meniru dirinya menjadi katak, menjadi ikan, menjadi buah pear. Gurduloo akan berubah menjadi mengikut apa yang dilihat dan dihadapinya. Malah berubah namanya mengikut tempat dia berada. Gurduloo seorang manusia yang wujud tetapi tidak sedar bahawa dia sebenarnya wujud. Charlemagne ketawa dan memikirkan bahawa Gurduloo adalah pasangan yang baik kepada Agiluf. Seorang wujud tetapi tidak menyedari dia wujud, seorang lagi berfikir bahwa dia wujud sedangkan dia tidak wujud. Ini cerita awal daripada Kesatria yang Tidak Wujud yang ditulis oleh Italo Calvino.

Membaca kumpulan cerpen Tinju & Peluru Johan Radzi terbitan Roman 2017 seperti melihat Agiluf yang wujud dengan kemahuan dan kepercayaan itu. Cerpen-cerpen Johan berlegar semahunya, kadang-kadang mempunyai cerita kadang-kadang tidak mempunyai cerita, kadang-kadang bercerita dengan begitu tekun penuh emosi dan klimaks, tetapi kadang-kadang hanya menuliskan apa yang terlintas dan membuang klimaks menjadi baju besi yang kosong. Ya, baju besi kosong sang agiluf yang bercerita hanya dengan kemahuan dan kepercayaan bahawa wujud cerita di situ tetapi sebenarnya tidak wujud. Cerpen “Hal Tiga Ekor Itik di Hujung Tasik”, nah tentang itik dan segera dapat dikaitkan dengan Gurduloo. Gurduloo yang pertama kali ditemui percaya dia adalah seekor itik. Mujur Aku atau Fadhli Philliz hero dalam cerpen ini tidak terjun ke tasik menjadi itik yang dilihatnya. Tetapi sebenarnya Aku juga seperti Gurduloo yang bertumpang tindih imej di dalam kepalanya, melihat watak dan fauna dalam novel yang dibacanya wujud di mata, melihat kijang melihat itik dan melihat Anita yang entahkan benar-benar wujud atau tidak. Akhirnya Aku menjadi Gurduloo yang wujud tetapi tidak menyedari bahawa dia wujud.

Cerpen “Perbualan di Ulu Tamu” dilepaskan santai berjalan sesuka hati tanpa mempedulikan apakah ia cerita? Mereka berbual-bual dan kemudian cerita tamat berlalu begitu sahaja. “Pugalis” juga begitu antiklimaks, dan “Di Todak & Lelaki-lelaki Asing” – Aku sang perokok bertemu dengan sekumpulan pemuda tempatan di Kota Kinabalu, mereka berbual-bual dan cerita tamat begitu sahaja. “ATM” dan “Sultan dan Wang” lebih pendek lagi dan lebih ekstrem membunuh cerita dan klimaks. Lalu ditemu Sang Agiluf dalam cerpen-cerpen Johan, iaitu cerita yang gah bersalut baju besi sehingga pembaca melihatnya wujud, tetapi ia adalah baju besi kosong yang bergerak dengan kemahuan dan kepercayaan bahawa ia sedang melakukan tugas yang suci berjuang menuliskan cerita untuk pembaca, tetapi pada waktu yang sama ia sengaja pula tidak mewujudkan cerita. Pembaca boleh memberikan tafsiran apa pun, dan boleh melihat apa pun daripada apa yang diperkatakan, atau menolaknya. Tetapi apa yang dilakukan Johan adalah kekuatan untuk mengembangkan ‘kemahuan dan kepercayaan’ seorang manusia di dalam cerpen-cerpennya. Kemahuan yang menceritakan tentang masyarakat dalam pusaran kesibukan serentak juga kebekuan kota, dengan menjadikan cerita seperti sebuah tubuh baju besi yang kosong yang bergerak menghayun pedang serta tombaknya ke sana sini.

Tetapi dalam cerpen “Kesumat”, Johan betul-betul bercerita. Cerita yang dipenuhi plot yang kuat dengan segala emosi dan klimaks yang sungguh-sungguh menjadi sebuah cerpen. Sementara dalam cerpen “Perempuan yang Pulang ke Lautan” Johan mencampurkan cerita dengan kesedaran di bawah sedar dan menemukan sebahagian klimaks yang dimahukan pembaca dan sebahagian yang dimahukan Johan. Ia sama dengan cerpen “Adirimau”. Dalam cerpen-cerpen Johan akan ditemui Sang Gurduloo yang menjadi apa sahaja yang dia mahu dan menjadi apa sahaja yang melintas di hadapannya, malah namanya juga bertukar mengikut di mana dia berada. Dalam cerpen-cerpen Johan juga akan ditemui Sang Agiluf yang menayang baju besinya yang putih berkilat sepertimana cerpen-cerpen yang mengembangkan kemahuan dan kepercayaan bahwa dia wujud dan bercerita tetapi kesudahannya ia adalah ‘baju besi’ yang kosong iaitu tiada sebarang kewujudan bercerita di situ. Tetapi kemahuan dan kepercayaan itu menggerakkan keseluruhan matlamat penulisan Johan.

Tanggapan terhadap cerpen-cerpen Johan ini aneh, kerana cerpen-cerpen Johan juga aneh. Malah Johan menyatakan bahawa buku ini adalah gelanggang pertarungan antara pengarang dengan cerita. Ya, kita melihat benar-benar pertarungan antara pengarang dan cerita. Ia sebuah buku yang menarik dalam mewakili sastera hari ini, dan banyak memberikan tanggapan secara jujur terhadap realiti yang didepani. Johan sengaja menuliskan cerpen ‘bercerita tetapi tidak wujud cerita’ seperti Sang Agiluf, sekaligus memperlihatkan pertarungan pengarang dengan cerita di gelanggan Tinju & Peluru ini. Ia sebuah buku yang sangat mewakili suara generasi zaman ini.

Mungkin kita perlu melihat Johan sebagai Agiluf, kesatria berbaju besi yang wujud oleh kemahuan dan kepercayaannya yang tekal. Bezanya Johan dengan Agiluf, ialah Johan bukan milik Charlemagne tetapi milik dirinya sendiri yang bebas dan perkasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *