POK YA CONG CODEI ANTIKLISE FILEM GANGSTER MALAYSIA

 

Setelah lebih dua minggu disiarkan di Astro, telemovie Pok Ya Cong Codei (PYCC) terus menjadi sebutan khalayak penonton di seluruh negara, terutamanya di Semenanjung Malaysia. Masalah bahasa dialek mungkin membuatkannya kurang dihayati di Malaysia Timur yang sukar untuk memahami filem yang bertutur dalam dialek Kelantan ini. PYCC diterbitkan oleh Balang Rimbun, diarah dan ditulis lakon layarnya oleh Sabri Yunus, yang juga merupakan pelakon utama yang membawa watak Pok Ya Cong Codei. Walaupun ditayangkan di televisyen sebagai telemovie, PYCC muncul menjadi fenomena dunia perfilemanan Malaysia tahun 2018.

PYCC memecahkan kotak filem-filem samseng buatan Malaysia yang selalu mencecah kutipan tinggi. Filem-filem samseng seperti KL Gangster, dan sebagainya sebenarnya lebih kepada gambaran palsu yang dibuat-buat tentang dunia samseng dan kongsi gelap. Gambaran samseng yang bercakap menjerit-jerit dengan bahasa ‘lu-gua’, ‘kasi sengat’, dan segala slanga karut sebenarnya adalah cerita budak-budak hingusan yang berkhayal tentang dunia samseng. Dunia kehidupan samseng sebenar adalah lebih tertib dengan kebanyakan anggota, lebih-lebih lagi ketua samseng adalah orang yang tenang, bercakap perlahan dan tidak menjerit dan melompat seperti orang gila. Dunia kongsi gelap juga mempuntai aturan dan kodnya yang tersendiri.

Bahasa dalam dunia samseng lebih mengikut loghat daerah di mana anggota kumpulan itu berasal. Selalunya kumpulan samseng berpadu dengan anggota dari daerah atau negeri yang sama. Jika mereka bergabung atas dasar masing-masing penghijrah yang datang mencari makan di kota, selain daripada berpadu mengikut daerah asal mereka akan berpadu mengikut daerah mereka menetap dan membina tapak. Maka mereka akan mengumpulkan anggota yang sama-sama menetap di situ dan memperkuatkan kesatuan antara mereka untuk menguasai tempat atau tapak mereka.

Bahasa kumpulan samseng di tapak kota masih terselit loghat daerah, dan bercampur dengan slanga kota dan mempunyai kod tersendiri untuk menyebut apa-apa yang berkaitan kerja haram mereka. Tetapi bahasa dunia gelap ini masih berunsur bahasa dewasa dan adakalanya sangat kuat metaforanya seperti ‘kambu’ untuk istilah bunuh dan hilangkan mengikut loghat utara sama juga dengan istilah ‘bukus’ mengikut loghat pantai timur, atau ‘lori tayar empat’ untuk menyatakan nama kumpulan mereka, ‘air’ untuk menyatakan jumlah anggota mereka dan sebagainya. Sementara bahasa dalam kumpulan berasaskan kaum akan mengikut pertuturan bahasa vernakular seperti Tamil, Hokkien, Hakka dan sebagainya.

Bahasa dengan unsur metafora dan perlambangan ini dituturkan dengan perlahan dan penuh hati-hati kerana ia merupakan kod arahan yang melibatkan hidup dan mati. Gambaran yang ditunjukkan dalam filem KL Gangster contohnya adalah gambaran palsu dunia samseng, dengan bahasa caca marba yang buruk serta kebudak-budakan. Ia tidak menggambarkan kematangan dan keseriusan dalam dunia samseng yang sebenar, yang sentiasa menyembunyi dan menyamarkan diri. Samseng dan kumpulan samseng seboleh-bolehnya menyembunyikan identiti mereka dan cuba menjadi orang biasa seupaya yang boleh. Mereka selalu mengelak daripada dikenali dan dikesan oleh pihak berkuasa.

PYCC memberikan gambaran dunia samseng sebenar walaupun dibuat dalam bentuk humor. Sukar juga untuk mengatakan filem ini sebuah genre komedi, walaupun intipatinya adalah komedi. Ini kerana komedi yang dihantar adalah sebuah kenyataan yang menempati wajah kehidupan sebenar. Ia boleh dikatakan sebagai verisilimitude-comedy, iaitu komedi yang membiaskan kisah sebenar dan unsur komedinya berlaku secara kebetulan. Dalam kata lain, kehidupan harian manusia melalui pelbagai kisah melucukan yang berlaku tanpa dirancang. Kelucuan itu berlaku spontan mungkin oleh kerana sifat naif watak kehidupan seperti Pok Ya yang pertama kali pergi ke kota Kuala Lumpur.

Pok Ya seorang samseng (gedebe) di Kelantan. Tempat mainannya di Kelantan yang kotanya Kota Bharu, dan tentunya orang gedebe di Kelantan akan memulakan tradisi samsengnya di Golok Siam, iaitu sebuah pekan di Thailand yang terletak di sempadan Kelantan. Golok terkenal dengan kegiatan pelacuran, juga transit dadah dan senjata api. Seseorang gedebe di Kelantan secara tidak rasminya tidak akan dikenal sebagai gedebe selagi tidak mencipta namanya di Golok atau Siam. Golok-Siam seperti rite-to-passage untuk seseorang menjadi samseng atau gedebe di Kelantan. Sesiapa yang lepas melalui kehidupan samseng dengan bercampur gaul dalam kehidupan jenayah di Golok-Siam baharulah akan terangkat namanya sebagai orang gedebe.

Pok Ya datang daripada tradisi ini, tradisi gedebe dari Kelantan. Kelantan boleh dikatakan wilayah luar pusat kota, pertama ia jauh dari kota besar di Pantai Barat seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu, Ipoh dan Georgetown dan kedua bandar Kota Bharu adalah bandar yang dikelilingi oleh kawasan perkampungan. Ia membuatkan orang Kelantan masih sangat kukuh tradisi berpuak mengikut daerahnya. Apabila orang-orang Kelantan berhijrah ke Kuala Lumpur, mereka bukan sahaja akan mencari dan hidup berkumpulan dengan orang setempat mereka tetapi juga mengekalkan budaya, tradisi, bahasa, makanan dan suasana pergaulan mereka di Kelantan.

Di sini PYCC menunjukkan tentang kenyataan sebuah dunia samseng puak dari Kelantan. Pok Ya datang ke Kuala Lumpur melakukan misi upahan, dan kenyataannya sebagai puak gedebe Kelantan dia akan mencari puaknya yang tentunya terdiri daripada puak Kelantan. Aksi cerita seterusnya mula menggambarkan suasana budaya iaitu sudut etnografi yang dilihat dari sudut pandangan watak-watak dalam dunia samseng. Filem ini tidak meletakkan tunjang kekuatannya kepada aksi tumbuk menumbuk dan bunuh membunuh tetapi memperlihatkan ‘budaya’ atau etnografi masyarakat Pantai Timur dari sudut pandangan marginal, iaitu sudut pandang puak samseng Kelantan yang mencari makan di Kuala Lumpur.

PYCC telah memecahkan klise filem-filem gangster ‘budak-budak’ di Malaysia. Ia adalah sebuah filem dewasa yang matang dengan kebijaksanaan untuk menjadikan sebagai filem yang sebenar. Filem yang sebenar sepertimana kata Emile Zola adalah seni yang menjelas tentang, “a corner of nature seen through temperament”. PYCC melengkapi definisi dan tujuan seni ini. Ia sangat berbeza dengan filem-filem gangster Malaysia yang bukan sahaja kehilangan ‘corner of nature’nya tetapi juga penuh khayalan budak-budak lembut dan skema tentang dunia gangster.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *