BUKAN ORANGORANG: BUKAN PROPAGANDA-UTOPIS

Novel Bukan Orangorang (BOO) tulisan Hafizah Iszahanid adalah novel yang memenangi Hadiah Sastera Perdana (HSPM) 2015-2016 yang masih tidak diperkatakan sehingga kini. HSPM kelihatannya hanya gah memberikan keputusannya tetapi setelah itu ia mati dan senyap. Semua karya-karya yang memenanginya hilang tanpa diperkatakan. Lalu atas kekuatan apa ia menerima HSPM tidak diketahui selain daripada ulasan panel hakim yang tidak disiarkan (adakala tersiar di Dewan Sastera, adakala ia sepi tanpa dokumentasi). Ulasan panel hakim tidak mencukupi untuk meletakkan karya penerima HSPM di mata awam. Ini kerana karya penerima HSPM perlu difahami dengan lebih kritis dan konstruktif untuk melihat nalar pemikirannya. Tetapi kritikan sudah nazak menghampiri mati dalam dunia sastera Malaysia hari ini. Karya atas kehebatan apa pun hanya gah diisytiharkan sebagai pemenang, dan itu sahaja.

BOO mengalahkan Ah Fook karya Jong Chian Lai yang dikatakan memberi saingan sengit dalam pemilihan HSPM 2015-2016. Sukar untuk melihat ‘kekalahan’ Ah Fook, tetapi di sebalik ketebalannya Ah Fook jika dibaca dengan teliti mempunyai banyak kesalahan fakta sejarah. Walaupun ia sebuah fiksyen yang mungkin sengaja (atau tidak sengaja) memanipulasikan fakta atas dasar sebuah fiksyen, tetapi ‘agenda’ ini mungkin menjadi faktor kelemahannya di mata penilai. BOO juga sendat dengan fakta sejarah, terutamanya fakta yang menyangkuti hubungan kaum di negara ini, termasuk kontrak sosial dan tragedi 13 Mei. Kelebihan BOO di mata penilai mungkinnya (ditekankan ‘mungkin’) kerana ia setia kepada fakta, dan lebih daripada itu ia menggunakan fakta (bukan memanipulasi atau menyelewengkan fakta atas dasar fiksyen) untuk menghujahkan tentang situasi state of stable tension dalam konteks hubungan perkauman di Malaysia.

Shamsul Amri Baharuddin menyatakan Malaysia sebenarnya adalah negara yang berada salam situasi ‘state of stable tension’, iaitu suasana seperti sungai yang kelihatan tenang di permukaannya tetapi di bawahnya keruh bergolak dengan segala perasaan tidak puas hati antara kaum. Hubungan kaum di Malaysia yang berasaskan intergrasi menurut Dr. K.J. John berada pada tahap yang masih buruk memandangkan kurangnya persefahaman antara kaum, yang masih hidup di atas kepentingan dan sentimen kaum masing-masing. Hal ini ditambah pula dengan apa yang disebut sebagai ‘vernacularisation’ iaitu suasana politik Malaysia yang hidup berteraskan sokongan berasaskan kaum. Isu perkauman sentiasa menjadi kelebihan bagi parti politik meraih undi dan menjadikan ahli politik wira dalam sekelip mata. Isu perkauman atau ‘racial card’ ini juga sering dijadikan peluang dan senjata oleh ahli politik untuk meraih kuasa dan kemudian mengaut keuntungan diri sebanyak yang boleh.

Perkara ini yang menjadi inti persoalan dan membawa kepada inti pemikiran di dalam BOO. Qi lelaki dari etnik Cina walaupun dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai hubungan antara kaum yang harmoni di kampung, tetapi menyimpan dendam kepada orang Melayu dan Islam atas kekecewaan yang meruntuh segala rasa hormat dan percayanya kepada orang Melayu-Islam. Mo, bapa Qi hidup dalam zaman ketegangan era penjajahan Inggeris dan Jepun serta era tragedi 13 Mei telah melalui peristiwa dahsyat bersama dengan tetangga Melayunya, kemudian membangunkan kehidupan di atas semangat setiakawan dengan tetangga Melayu dan Indianya. Peristiwa perit melalui kesengsaraan bersama membuatkan hubungan antara kaum lebih dilihat sebagai nilai yang mengatasi segala kepentingan politik dan peribadi. Tetapi Qi yang membesar dalam zaman maju dan aman mula dipengaruhi semangat individu dan menghidupkan sikap yang sebaliknya.

Punca kepada perubahan sikap Qi ini bermula apabila adiknya Lulu meninggal dunia akibat jantung yang diikrarkan untuk didermakan kepada adiknya itu ditarik oleh keluarga pengikrar berbangsa Melayu-Islam kerana mengatakan pemindahan organ adalah haram. Bapa pengikrar yang menghalang pihak hospital memindahkan organ dan akhirnya ‘membunuh’ adiknya itu tidak lain ialah Ustaz Zamri, guru agama Islam yang dia hormati dan sering dia dengar secara senyap tentang inti pengajaran Islam. Sejak itu Qi membenci Ustaz Zamri, Melayu, Islam malah menganggap Islam penuh hipokrit. Qi berkerja sebagai wartawan di Daily News, dan menggunakan kariernya untuk menyerang Islam, termasuk menanam perasaan curiga antara kaum yang sememangnya semakin merebak dalam era kemajuan teknologi digital hari ini.

Sementara dalam peristiwa lain, Zara seorang lagi wartawan tetapi di media digital iaitu portal Malaysiakita.com menanam kebencian kepada kaum Cina. Zara juga mempunyai pengalaman perit apabila Mei Lan rakan yang sama-sama berjuang dalam gerakan reformasi dan kemudian menjadi wakil rakyat bagi parti pembangkang PSM yang turut dianggotai Zara berpaling tadah dan mengkhianati perjuangan mereka. Suasana era digital yang semakin memburukkan hubungan kaum oleh hasutan dan fitnah perkauman, menimbulkan perasaan tidak percaya kepada kaum Cina yang disifatkan Zara sebagai hipokrit dan tidak boleh dipercayai. Justifikasi Zara disempitkan hanya oleh penilaiannya terhadap Mei Lin, dan membuat pukul rata kepada semua orang Cina. Sebenarnya BOO menyindir sikap masyarakat Malaysia hari ini yang sering membuat justifikasi atas satu keadaan terpencil yang selalu dijustifikasikan sebagai mewakili semua.

Zara ialah anak kepada Midah iaitu jiran Mo yang sama-sama mengharungi hidup getir meniti pelbagai era pahit dan meletakkan nilai setiakawan antara kaum di atas kepentingan diri dan politik. Tetapi Zara berbeza dengan orang tua mereka. BOO Kemudian berkembang kepada subplot lain seperti drama kehidupan Mo dan Midah di kampung, soal penjualan tanah Midah kepada Mo, suami Midah iaitu Hamid yang menyusahkan Midah dengan hutang judinya dengan peminjam wang haram (ah long), dan prasangka pertolongan ikhlas Mo yang kematian isteri kepada Midah. Novel ini mengakhiri ceritanya dengan kesedaran Qi dan Midah terhadap keikhlasan dan kejujuran hubungan orang tua mereka yang membunuh segala prasangka perkauman. Kesedaran ini berakhir dengan hubungan tergantung antara Qi lelaki sepi kehilangan keluarga dan Zara, gadis yang putus pertunangan dan percintaan dengan lelaki pertamanya.

Novel ini pada awalnya seperti sebuah novel ideal yang mempropagandakan tentang bagaimana rakyat Malaysia harus membuang sikap perkauman dan kembali ‘berpelukan’ tanpa mengira kaum untuk mendirikan khayalan sebuah negara Malaysia damai. Hal ini kelihatan adalah cita-cita ideal, jika tidak sebuah utopia kerana sepertikata Shamsul Amri, Malaysia hanya bermimpi dan berkhayal dengan citra ini kerana pada masa yang sama politik terus memprojeksikan ‘vernacularisation’ mereka demi kelangsungan politik mereka. Akibatnya Malaysia hari ini ialah masyarakat yang semakin tebal perkaumannya dan melampau sensitiviti perkaumannya. Tetapi setelah selesai membaca, ideal yang ditampilkan oleh BOO bukanlah untuk bermimpi tentang citra palsu ini tetapi cuba membiaskan realiti yang berlaku di Malaysia dalam sebuah naratif yang cerdik.

BOO hadir sebagai sebuah novel yang menaratifkan hubungan perkauman di Malaysia secara histrorikal dan semulajadi. Inilah yang menjadikan BOO sebagai novel yang mempunyai kekuatan yang tersendiri dalam citra dunia hari ini. Selebihnya novel ini ialah sebuah karya jurnalisme baharu yang terus dikembangkan untuk hidup dalam era abad ke-21.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *