TARI PASAR PEREMPUAN Sastera Pop VS Sastera Tulen

Dalam keadaan tertentu kerja-kerja ahli teori seringkali membuatkan sastera menjadi sukar. Kaum formalis yang banyak menyumbang mendirikan sastera moden cuba memisahkan sastera daripada jiwa seorang pencerita. Mereka melihat sastera sebagai fakta kebendaan yang dapat dikaji fungsinya sepertimana mekanik memeriksa sebuah mesin. Bagaimanapun formalisme mempunyai peranan besar dalam menghadirkan aliran realisme dalam sastera. Di tangan ahli-ahli fenomenologi dan hermeneutika pula sastera dipertanyakan apa yang dialami itu suatu ilusi atau tidak. Maka semua yang tidak terdapat dalam kesedaran harus dikeluarkan. Jadi ia mahu melihat sastera kembali kepada realiti yang pejal dan konkrit. Sastera menjadi lebih payah di tangan kaum strukturalisme, yang menjadikan bahasa dan sastera seperti alat-alat sains dalam makmal.

Ini adalah sebahagian daripada kepelikan yang diciptakan oleh ahli-ahli teori yang kadangkala menjadikan sastera itu begitu sukar untuk disikapi. Maka sikap pembaca umum terhadap sastera juga menjadi payah. Tetapi dari sisi yang lain, teori dan pemikiran yang payah ini menjadikan karya sastera itu lebih bermakna. Dalam pada itu skema-skema yang diciptakan oleh ahli-ahli teori ini juga akhirnya menumbuhkan pelbagai label kepada sastera. Apakah penulis atau sasterawan juga perlu menuruti dengan tekun segala kepayahan ahli-ahli teori ini. Persetankan. Penulis harus kembali kepada jiwanya, kepada apa yang mahu ditulisnya, kepada apa yang mahu dilontarkannya kepada pembaca sesuka hatinya. Tetapi sebagai karya sastera, tulisannya tetap mempunyai bentuknya yang tersendiri. Cerita, bahasa dan kesannya tetap akan membezakannya dengan karya bukan sastera.

Roman Buku adalah sebuah rumah penerbitan berdikari, yang tidak terikat dengan skematik sastera yang payah. Ia menerbitkan buku-buku cerita dalam bentuk yang tersendiri. Namun anehnya, begitu banyak buku yang diterbitkan adalah karya-karya sastera yang baik dan bermutu berat. Maka oleh kerana ia hidup dengan hanya mahu menjual buku-buku yang diterbitkan, Roman Buku tentunya tidak mahu peduli dengan label dan ciri-ciri sastera yang ketat, contohnya harus mempunyai nilai-nilai murni (yang menjadikan sastera adakalanya palsu). Maka Roman Buku mahu membina labelnya yang tersendiri untuk lebih senang melabelkan buku-buku sastera terbitan mereka sebagai ‘Sastera Pop’ (mungkin bukan semua, beberapa bukunya adalah sastera berat). Sastera pop tentunya lebih tersalur bebas, terbuka dan tidak terikat dengan nilai-nilai sastera yang beku.

Sebuah buku terlaris tahun 2018 yang diterbitkan oleh Roman Buku ialah Tari Pasar Perempuan (TPP), sebuah kumpulan cerpen oleh Fazleena Hishamuddin. Sebelum ini Fazleena telah menghasilkan buku-buku sastera yang tidak kurang kontroversi dari segi ‘gimmick’nya dan mendapat jualan yang laris dengan hebatnya, seperti kumpulan puisi Seksi Ovari. Fazleena mempunyai populariti yang tersendiri, diva atau ratu dalam dunianya. Fazleena lebih banyak menulis di luar arus perdana (adakala pembaca juga kabur antara sempadan arus perdana dan tidak perdana ini), tetapi sesekali karyanya menembusi media arus perdana. Namun medan Fazleena adalah medan sastera alternatif yang semakin berkembang dan diikuti oleh pembaca generasi baru, sehinggakan untuk mutakhir ini medan ini yang lebih menjadi ‘arus perdana’ daripada sastera arus perdana yang semakin sunyi daripada karya-karya bermutu.

Tari Pasar Perempuan mungkin ingin dilihat bangun sebagai ‘Sastera Pop’ dengan prestasi jualannya yang begitu hebat dan tahap populariti Fazleena sendiri yang cukup tinggi. Dua hal ini cukup untuk ia berdiri sebagai sastera popular. Tetapi apakah bezanya antara sastera pop dan sastera tulen? Sastera pop bangun dengan jualan yang besar seiring dengan popularitinya. Sementara sastera tulen termengah dan merangkak untuk mendapat sasaran jualan bersama populariti ilusif di kalangan peminat sastera yang kecil. Mutunya? Sastera pop bermutu rendah dengan bahasa tanpa estetika dan cerita mudah tanpa intipati fikiran, sementara sastera tulen bermutu tinggi dengan bahasa penuh estetik dan cerita yang berat dengan falsafah? Persepsi ini naif. Ini kerana karya sastera yang dilihat berada dalam kelompok sastera tulen hari ini semakin rendah dan buruk mutunya. Sebenarnya sempadan antara sastera pop dan sastera tulen tidak pernah ada dahulunya. Malah ketika A. Samad Said menulis Salina, Shahnon Ahmad menulis Tivi atau Azizi Hj Abdullah menulis Sami Mekong dan S. Othman Kelantan menulis Norbani karya-karya sastera ini tidak pernah dianggap dan dilabelkan sebagai sastera pop. Ia tetap dilihat dan diangkat sebagai sastera tulen, dan mewakili dunia kepengarangan dan kesusasteraan yang bangun sebagai dunia manusia dan kehidupan.

Fazleena dengan kumpulan cerpen Tari Pasar Perempuan, boleh sahaja sama ada Roman Buku atau Fazleena sendiri ingin meletakkan karya ini sebagai sastera pop. Tetapi intipati Tari Pasar Perempuan adalah intipati sastera yang memperakukan kehadirannya sebagai karya sastera yang menulis tentang manusia dan kehidupan. Malah ia adalah karya yang mengangkat mutu sastera yang tersendiri. Sesiapa pun yang membaca buku ini tidak dapat menolak kekuatan bahasa, malah keindahannya sebagai karya sastera yang dikukuhkan oleh kekuatan plot dan segala struktur yang ada dalam sesebuah karya sastera. Begitu juga dengan intipati pemikirannya, memberikan refleksi arus kesedaran dan bawah sedar, malah mencipta alirannya yang tersendiri. Cerita, bahasa dan kesan cukup untuk meletakkan Tari Pasar Perempuan sebagai karya sastera yang berdiri sama tinggi dengan karya-karya sastera yang lain, malah sesekali seperti melangkauinya. Sekaligus ia menolak persepsi sastera pop (jika ia benar sastera pop) tadi yang kononnya bermutu rendah.

Membaca cerpen-cerpen ini, membuatkan seorang lelaki terkedu apatah lagi seorang penulis lelaki yang tentunya tidak akan mahu menceritakan pengalaman dunia gelap mereka dengan sejujur ini. Adakalanya kita tertanya-tanya di mana Fazleena menemui pengalaman-pengalaman ini; pelacur di dalam cermin kaca, pelacur beragama Buddha yang ‘bersembahyang’ sebelum tidur, ‘bermain buih sabun di Chow Kit’, atau Jogja undercover masuk ke dalam dunia gelap yang tidak mungkin ditulis tanpa pengalaman sebenar (memerhati atau mengakrabi pelakunya). Cerpen-cerpen ini adalah manusia dan kehidupan yang ditulis tanpa kepalsuan. Malah cerita-ceritanya hadir dengan objek-objek budaya seperti pulut ayam di Hadyai, kopi jos di Bandung, atau main botol plastik buih sabun di Chow Kit yang membawa cerita masuk ke dalam dunia kehidupan yang sebenar-benarnya.

Malah Fazleena jujur dan tidak menyembunyikan realiti manusia yang sebenar. Lelaki yang beristeri mempunyai perasaan cinta malah masih menggiat wanita lain sebagai teman di luar dunia perkahwinannya. Ia adalah dunia yang jujur, benar-benar berlaku dan watak-watak lelaki ini masih tetap bertanggungjawab terhadap rumahtangganya. Dan watak-watak gadis dan wanita yang berteman dengan suami orang ini tahu status teman mereka, tetapi mereka tidak menolaknya kerana kehidupan bukanlah sesuatu yang diandaikan oleh norma-norma yang diciptakan oleh jalan sehala. Ya, ia tentulah perlakuan yang salah, tetapi penulis bukan ‘polis moral’ untuk hanya menulis dan memberikan kehidupan manusia seperti alam yang dilalui oleh malaikat. Realiti yang jujur dibawa tanpa keinginan penulis untuk menjustifikasi benar atau salah. Apa yang penting ialah menuliskan tentang dunia sebenar yang dipenuhi perasaan yang sebenar. Ramai daripada sasterawan seringkali ‘memalsukan’ realiti sebenar dan perasaan sebenar ini, demi meletakkan maruah mereka sebagai penulis yang ‘suci’, walhal mereka tidak begitu.

Tari Pasar Perempuan juga mempunyai dunia kemanusiaan yang tinggi, termasuk cinta kepada budaya dan tradisi yang datang dari luhur hati yang dalam. Tidak ketinggalan cerita-cerita sadistik yang melanggar realisme. Pembaca terpesona mengikuti cerita ibu yang tegas dengan anak-anak terhadap penggunaan telefon bimbit, tiba-tiba akhirnya dimatikan dengan ‘ibu baru selesai menelan telefon bimbitnya sendiri’. Paling menarik dunia sadistik ini, apabila Mak Yang yang gila membunuh pengantin teman hidup Saya dan cerita berjalan lancar tanpa siapa menyangka bahawa pada akhirnya Saya yang paling menyayangi dan memaafkan Mak Yang pula datang membunuh Mak Yang. Cara pengolahan cerpen-cerpen ini juga boleh menjadikan ia bahan yang sangat ‘mahal’ untuk ahli-ahli teori dan aliran.

Tari Pasar Perempuan tentulah mempunyai juga kelemahan-kelemahannya, tetapi malangnya kelainan, keberanian dan keluarbiasaannya telah menenggelamkan kelemahan jika pun ada. Fazleena Hishamuddin bukanlah nama yang disebut-sebut dalam dunia sastera arus perdana, tetapi Tari Pasar Perempuan telah membuktikan perkara yang sebaliknya. Fazleena telah memperlihatkan kekuatannya untuk keluar daripada tipikal penulis sastera wanita di Malaysia. Walaupun Fazleena selesa dan sengaja mencari medan popular kerana medan ini pun yang paling ‘memuatkan’ intipati diri dan karyanya, tetapi karya Fazleena adalah sebuah hasil sastera yang kuat. Sastera popular jikapun ada atau mahu diadakan, tetapi di tangan Fazleena telah membunuh persepsi klise sebagai karya pinggiran, kerana Tari Pasar Perempuan adalah karya sastera bermutu dan mempunyai kekuatan estetiknya yang tersendiri.

Tulisan ini menjadi begitu panjang sebenarnya. Tetapi Tari Pasar Perempuan adalah karya yang layak untuk diperkatakan dengan panjang lebar, hatta jika mahu menggunakan teori yang paling kompleks pun. Lupakan tentang sastera pop dan populariti Fazleena, tetapi baca dan lihatlah kekuatan Tari Pasar Perempuan sebagai pemaparan realiti yang mengembalikan sastera Malaysia ke zaman sastera yang menulis realiti manusia dan kehidupan yang tanpa perlu menyembunyikan apa-apa. Nilai-nilai murni. Ohh ia banyak kali menjadikan sastera begitu palsu.

Sastera adalah seperti air hujan yang jatuh dan mengalir melalui marmar yang paling bersih dan juga lopak-lopak yang paling kotor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *