POK YA CONG CODEI 2: SITI DI HATI Sebuah Catan Budaya

Pok Ya Cong Codei 2 (PYCC2) kembali dengan kisah yang berlatar di Kelantan, sekaligus mengangkat budaya masyarakat Kelantan secara lebih autentik. Berbeza dengan prekuelnya yang berlatarkan Kuala Lumpur dengan watak Pok Ya membawa ‘jatidiri’nya ke kota, sekuel nya dalam PYCC2 cuba memberikan gambaran yang lebih jelas siapakah diri Pok Ya ini. Ia membawa penonton untuk melihat ‘bangunnya’ watak Pok Ya, dalam persekitaran yang membentuk rupa ‘gedebe’. Sekuel ini bergerak agak perlahan berbanding dengan prekuelnya. Unsur humornya juga mula bertindih dengan gerak yang lebih serius, oleh terlibatnya Pok Ya dengan cabaran J’jering, anak muda yang mencari nama dalam dunia gedebe. Ia mula bergerak kepada drama yang agak serius, dan genre komedinya juga menjadi bertindih dengan genre lain. Babak keinsafan Pok Ya juga boleh dilihat sebagai ‘gerak kabur’ peralihan genre. Cuma komedinya masih keras berpaut dalam aksi spontan Pok Ya dengan watak lain seperti Halim, Nasir Badak, Hasnah dan sebagainya. Aksi spontan ini adalah teras kekuatan Pok Ya Cong Codei, baik dalam konteks karekter mahupun cerita. Lalu ia menjadi seperti ‘komedi berat’ sebenarnya. Ia bukan sekadar berhibur kosong semata-mata tetapi membuatkan juga penonton berfikir.

Mise-en-scene PYCC2 memuatkan dunia masyarakat agraria Pantai Timur, yang dilingkungi budaya setempat yang unik. Malah geografi Kelantan yang bersempadan dengan Thailand memperlihatkan kewujudan persekitaran masyarakat dwibudaya dan dwibahasa iaitu Melayu dan Siam. Suasana ini mengisi pandangan dan perasaan penonton, melalui pergerakan kamera dan ruang di dalam kamera. Mise-en-scene nya ini secara tidak langsungnya juga menggambari suasana masyarakat patriarki-agraria yang meletakkan lelaki sebagai ‘dewa pembuat segala keputusan’. Ia dijelaskan apabila Mamat Kertuk mudah sahaja menyerahkan anaknya Hasnah untuk dikahwini oleh kawan sebayanya Pok Ya, tanpa perlu pun menimbangkan keputusan Hasnah. Kuasa patriaki ini juga jelas dilihat dengan dialog Pok Ya, ‘dalam lapan isteri tidak ada seorang pun pernah campur atau berani bertanya dalam apa sahaja yang dilakukannya’. Lelaki boleh berbuat apa sahaja dan melakukan apa sahaja tanpa perlu memberitahu isterinya. Sebaliknya isteri hendak melangkah keluar rumah pun perlu meminta izin suami. Apabila Hasnah keluar bertemu Rosit tanpa pengetahuan Pok Ya, maka Hasnah telah melakukan kesalahan yang amat besar dalam norma masyarakat ini. Tetapi tidak begitu dengan Pok Ya, dia boleh pergi ke mana tanpa perlu memberitahu isterinya hatta berkahwin lain. Ini dilihat sebagai norma umum dalam masyarakat (belum ingin lagi mengaitkannya dengan nilai agama).

Sistem patriaki ini membentuk kekuasaannya melalui ‘kejantanan’ lelaki terutamanya dibangunkan dengan kekuatan dan kekuasaan secara fizikal dalam menentu hierarkinya dalam masyarakat. Atau juga dalam norma umum ia ditentukan oleh kekayaan, kealiman agama atau ilmu dan senioriti lelaki tersebut. Dalam konteks senioriti, pengaruh yang lebih membangunkan kekuasaan selain kekayaan dan kealiman ialah kekerabatan, yakni ‘orang tua’ yang mempunyai kerabat yang ramai dan kuat akan mempunyai pengaruh yang lebih besar. Dalam PYCC2, sistem patriaki ini lebih diperlihatkan melalui metafora seorang ‘gedebe’. Gedebe walaupun difahami secara umum sebagai samseng, tetapi dalam pemaknaannya yang lebih spesifik dan kontekstual ialah kejaguhan yang bukan sahaja bergantung kepada kekuatan dan keberanian individu tetapi juga jumlah pengikut serta kaum kerabat, yang didokong pula oleh jaringan hubungan baik di di ‘dunia terang’ mahupun di ‘dunia gelap’. Ia merangkumi kaum kerabat, sahabat handai dan kaum pengikut yang membentuk apa yang disebut sebagai ‘puak’.

Pok Ya dihormati dan digeruni kerana keberanian dan sejarah pertempuran fizikal yang berpihak kepadanya. Tetapi yang melengkapkan kehebatan Pok Ya ialah karisma kepimpinannya yang membuatkan dia mempunyai ramai kawan dan handai taulan atau kerabat yang menjadi puaknya. Seorang gedebe dalam ertikata sebenarnya bukan berdiri atas keberanian dan kehandalan individu semata-mata tetapi kerana adanya sokongan puak atau kerabat yang ramai atau kuat. Hal ini digambarkan dengan jelas dalam PYCC2, apabila J’jering seorang samseng dan bekas banduan yang berani serta handal cuba mencari nama dengan bertarung dan menjatuhkan Pok Ya, tetapi ia tidak menjadi semudah itu. Tindakan J’jering yang membuta tuli hanya memakan dirinya apabila dibelasah teruk oleh puak Pok Ya. J’jering bertindak melulu dan kononnya dapat menjatuhkan Pok Ya dengan bertarung satu lawan satu. Tetapi Pok Ya menggunakan helah dan bergerak penuh strategi melibatkan kebersatuan puaknya.

Itu kelebihan Pok Ya yang membuatkannya menjadi seorang gedebe yang tidak tertanding. Sedangkan J’jering yang merasa kuat tidak banyak menggunakan akal. Namun dalam konteks budaya kekerabatan masyarakat patriaki ini, J’jering datang mengadu kepada ‘orang tua’ puaknya iaitu Pok Su yang merupakan bapa saudaranya dengan Rosit. Ini memperlihatkan J’jering juga tidak berdiri sendirian tetapi bergantung kepada puaknya juga. Tetapi Pok Ya bukan lawan yang mudah, sehingga Pok Su berkerut memikirkan dan menasihatkan J’jering agar berhenti dan mengalah. Kata Pok Su, “Pok Ya ni bukan satu dua kampung puaknya”. Hal ini jelas menggambarkan bahawa Pok Ya mempunyai puak yang ramai dan merata, menjelaskan tentang fungsi kekerabatan dalam masyarakat patriaki ini. Pok Su yang juga seorang gedebe itu sendiri berfikir panjang untuk menghadapi Pok Ya, walaupun anak buahnya dibelasah dan dihina oleh Pok Ya. Malah Eh Chu (musuh lama Pok Ya) apabila ditemui Pok Su sendiri mengaku dia mengambil masa lima tahun untuk membalas dendam kepada Pok Ya tetapi akhirnya dia yang tewas juga. J’jering ternyata bukan lawan Pok Ya. Ini yang sangat dibimbangi oleh Pok Su jika J’jering membuat sesuatu yang melulu tanpa mengetahui kesan yang akan diterimanya.

Apabila J’jering berdegil juga untuk bedil (menembak) Pok Ya, Pok Su terpaksa mengambil jalan untuk meminta bantuan atau ‘laluan’ daripada ketua gedebe iaitu Pak Ngah Jani. Ini memperlihatkan bahawa dunia gedebe atau dunia luar undang-undang ini mempunyai sistem dan peraturannya yang tersendiri. Ia merupakan aturan dan sistem kekerabatan yang mendirikan budaya patriaki tadi. Sistem dan peraturan ini tidak boleh dilanggar sesuka hati. J’jering yang tidak puas hati mahu mengikut ‘cara orang muda’ dan tidak mahu mengikut ‘cara orang tua’ yang banyak aturan, cakap-cakap dan kemudian lepas, habis. Tetapi Pok Su tahu kesan yang akan diterima oleh J’jering jika melanggar ‘mata orang tua’. Akhirnya Pok Su memanggil Pak Ngah Jani untuk bertemu, dan pertemuan dengan Pok Ya diadakan lalu menyelesaikan masalah mengikut aturan ‘orang tua’ yakni sistem kekerabatan yang mendasari kehidupan masyarakat secara keseluruhan termasuk di dunia gedebe, dunia gelap itu sendiri.

Realiti budaya patriaki di Kelantan, terutama daripada mise-en-scene PYCC2 turut bersebati dengan keperibadian masyarakat yang teras iaitu agama dan bangsa. Di sini, Islam menjadi peribadi yang tidak terpisah daripada masyarakat hatta dalam dunia gedebe sekalipun. Sebagaimana jahat pun seseorang itu, dalam masyarakat patriaki Pantai Timur yang unik ini, jiwa keagamaan tetap bertitik di dalam jiwa mereka, dan berkembang besar apabila mereka tua. Ahli masyarakat terdiri daripada pelbagai latar belakang, perangai, sejarah baik dan jahat. Tetapi walau apapun setiap ahli masyarakat tertakluk kepada lingkungan budaya yang menjadi citra keperibadian mereka. Asas terbesar yang membentuk budaya masyarakat Melayu Pantai Timur ialah agama Islam. Maka itu setiap ahli masyarakat adalah tertakluk patuh dengan nilai Islam, dan mereka tidak akan membuang sama sekali teras keperibadian ini (Islam) walaupun mereka melanggar syariatnya jutaan kali. Islam dan Melayu adalah citra keperibadian masyarakat patriaki-agraria ini. Tanpa Islam dan Melayu mereka akan terbuang dan terpisah daripada citra keperibadian mereka sendiri.

Ini berlaku kepada Pok Ya. Walaupun Pok Ya seorang yang banyak melakukan kegiatan gelap dan menyara kehidupannya dengan kegiatan itu, tetapi Pok Ya tidak pernah terpisah daripada citra Islam dan Melayunya. Pok Ya adalah ahli dan milik masyarakat ini, maka setelah puas hidup bergelumang dosa, Pok Ya mula mencari jalan untuk kembali menurut syariat Islam. Gambaran keinsafan Pok Ya (bukan keinsafan sangat sebenarnya kerana Pok Ya masih seorang gedebe yang aktif) sebenarnya adalah gambaran lingkungan budaya masyarakat patriaki Pantai Timur yang tidak terpisah dengan keperibadian Melayu-Islam. Ia memperlihatkan bahawa teras utama budaya dan sistem masyarakat ini ialah Islam, Melayu dan sistem patriaki. Soal salah benar adalah soal lain, kerana ini berkisar kepada alam tabiat dan perangai manusia sejagat. Tetapi apa yang penting ialah bagaimana Islam dan keMelayuan itu menjadi teras kepada sistem kolektiviti masyarakat ini.

PYCC2 ialah sebuah catan budaya, yang menggambarkan dengan jelas dan nyata intipati sistem dan aturan dalam sebuah masyarakat patriaki-agraria di Pantai Timur Malaysia. Di sini sistem yang kukuh berdiri dalam masyarakat di Kelantan sukar dihakis oleh sistem norma moden dari luar, walaupun kemajuan telah lama menjengah di Kelantan. Dunia gedebe Pok Ya adalah gambaran mikro atau miniatur kepada gambaran besar masyarakat patriaki-agraria yang masih terserap kukuh dalam norma dan psiki masyarakat Kelantan. Walaupun ia tidak sepenuhnya mewakili gambaran kehidupan masyarakat Kelantan yang rata-ratanya baik beragama dan tertakluk kepada undang-undang seperti masyarakat di negeri lain, tetapi ia memberikan dimensi tersembunyi yang masih sangat hidup.

Adakalanya PYCC2 membuatkan kita sedikit faham mengapa Parti Islam sangat sukar dijatuhkan di Kelantan. Ini kerana nilai-nilai yang ada membuatkan seorang ‘gedebe’ sekalipun akan menyokong dan mempertahankan citra keperibadian kekerabatan (masyarakat) mereka iaitu nilai-nilai Melayu-Islam. Islam bukan sekadar agama tetapi sebatian keperibadian mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *