Kesan Keteralihan Dalam Normal Baharu

Pada abad ke-19, Ferdinand Tonnies, ahli teori sosial Jerman menulis tentang keteralihan (dislocation) secara psikologikal terhadap masyarakat yang berhijrah dari desa ke kota (Gemeinschaft to Gesellschaft). Mereka bukan sahaja beralih dari suasana kerja pertanian guna-tangan kepada industri guna-mesin tetapi juga seluruh kehidupan dari parokial kepada kosmopolitan. Pada ketika yang sama timbul nostalgia terhadap desa yang mereka tinggalkan, tetapi mereka tidak lagi mahu pulang kerana desa tidak lagi menjanjikan kehidupan sepertimana yang mereka perolehi di kota sekarang. Namun di kota mereka merasa teasing, terpencil, tersisih dan terkadang merasakan mereka bukan milik dan bahagian daripada kehidupan kota yang hiruk dan laju itu.  Mereka terapung antara nostalgia dan realiti yang perih, akan tetapi mereka telah menentukan hidup mereka sebagai bahagian daripada realiti kota yang perih itu. Pada masa yang sama mereka mula mencari identiti, mempertanyakan ‘siapakah mereka sekarang ini’, hingga membawa kembali pertanyaan tentang sejarah asal usul yang disebut Tonnies jauh mengusul kepada semangat nasionalisme. Hal ini dinyatakan sebagai psikologikal ‘keteralihan’, Terutamanya kepada golongan bawahan dan pertengahan bawah yang membentuk golongan majoriti.

Pada waktu ini, peralihan ‘Gemeinschaft to Gesellschaft’ bukan lagi disorot kepada peralihan desa-tani ke kota-industri, tetapi kepada peralihan normal – dari normal kerja-berkejar kepada normal kerja-dihujungjari. Normal baharu yang muncul dalam tempoh serangan wabak covid-19 menyaksikan amalan wajib seperti menjaga kebersihan, menjaga jarak, memecah sikap berkumpulan, dan mendapatkan keperluan melalui jualan dalam talian pesanan-hantaran-mukapintu. Sebahagian daripada amalan ini akhirnya muncul sebagai amalan baharu pasca-covid. Terutamanya apa yang berkembang dalam sektor ekonomi. Ekonomi baharu yang bergerak melalui gajet dan komunikasi digital berkembang dengan dahsyat meninggalkan sektor ekonomi pengurusan bersemuka atau fizikal tenggelam dan pupus. Ia membentuk normal baharu masyarakat.

Namun ‘keteralihan’ menimbulkan kesan psikologi yang serupa kepada masyarakat yang terapung antara nostalgia dan realiti yang perih. Sebahagian masyarakat terutama kelas bawahan akan tertinggal dan amat perlahan untuk mengejar, akhirnya terus hidup diekspoitasi oleh realiti normal baharu ini. Kesan ini mungkin menimbulkan pertanyaan ‘siapa kita’ dan membawa kembali sentimen yang  membawa semangat parokial memusuhi golongan lain sama ada golongan yang berjaya dalam normal baharu atau golongan pemdatang yang menyaingi mereka. Lebih jauh ia mewujudkan jurang sosial yang baharu.

Normal baharu bukan hanya memberikan sisi  baik dan cantik, tetapi juga menghadir sisi sebaliknya yang hitam dan gelap. Apatah lagi masyarakat turut mengalami psikologikal keteralihan dan kesannya.

 

Sapere Aude membawa maksud dare to know dare to be wise

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *