Manusia Megalothymia

Hampir tiga dekad yang lalu Fukuyama muncul dengan menyatakan bahawa apa yang menggerakkan sejarah manusia ialah keinginan untuk mendapatkan pengiktirafan. Perjuangan manusia untuk diiktiraf telah menggerakkan sejarah manusia sehingga ke hari ini. Fukuyama yang mendokong pemikiran Hegel, menyebut keinginan semulajadi manusia yang dinamakan thymos mendorong manusia untuk mendapatkan pengiktirafan, sekaligus menjadi penggerak kepada matlamat kehidupan manusia, sekaligus menjadi penggerak kepada perjuangan manusia, dan sekaligus juga menjadi penggerak dan penciptaan sejarah manusia. Pemikiran tentang thymos ini menyusur pemikiran Socrates yang memperkenalkan tentang roh thymos dalam jiwa manusia yang amat penting bagi pembinaan kota adilnya. Sesebuah kota berdiri kerana dijaga oleh pengawal yang gagah dan berjiwa bangsa yang melakukan pekerjaan bukan hanya kerana kesetiaan mereka, tetapi pada hakikatnya sebenarnya didorong oleh perasaan yang kuat untuk mendapat pengiktirafan daripada masyarakat kota tersebut, malah menduduki status penting dalam masyarakat. Perasaan ini adalah thymos, Dalam sikap politik yang lebih besar, thymos menggerakkan keinginan untuk mendapatkan kegemilangan.

Perasaan yang sederhana daripada tyhmos iaitu keinginan untuk diiktiraf sama dengan orang lain ialah isothymia. Namun lebih daripada itu terdapat perasaan berlebihan bukan hanya mahukan semua orang menilai diri mereka sebagai sama dengan orang lain. Sebaliknya mereka berusaha untuk diiktiraf sebagai lebih unggul daripada yang lain, sama ada berdasarkan penilaian dalaman diri mereka atau berdasarkan penilaian yang dibesar-besarkan dan bermegah terhadap diri sendiri. Perasaan untuk diiktiraf sebagai lebih unggul ini dilabel sebagai megalothymia, yang boleh menjelma dalam diri seorang penzalim bagi politik, dan narkisus bagi sosial. Megalothymia ialah keghairahan yang bermasalah bagi kehidupan politik. Thymos yang pada mulanya terbit sebagai sejenis hormat kendiri yang sederhana boleh bertukar sebagai keinginan untuk menguasai yang tidak terbatas. Megalothymia menggilai kuasa, memandang rendah semua orang lain, dan mendorong perlakuan menindas apa sahaja demi mencapai pengiktirafan sebagai yang terunggul. Megalothymia membina banyak sejarah kezaliman, pembunuhan massa dan kejahatan demi kuasa.

Megalothymia lebih berperanan dalam kehidupan politik. Perebutan kepada kuasa bukan lagi menyangkuti hanya perasaan untuk diiktiraf atau dilihat sama dengan yang lain tetapi lebih daripada itu ialah lebih unggul daripada yang lain. Malah lebih unggul dan paling unggul. Maka permainan politik khususnya kepada pemimpin yang berada dalam hierarki tertinggi banyak melahirkan manusia megalothymia, walaupun mungkin bukan semuanya. Manusia megalothymia dalam kehidupan politik secara automatik menjadi Machiavellian, dengan kepercayaan berpusat kepada matlamat menghalalkan cara. Doktrin ini mempercayai bahawa order politik yang baik boleh dicapai menerusi keburukan manusia: keburukan boleh dipaksa untuk mencapai matlamat baik sekirannya disalurkan menerusi institusi yang betul. Dalam diri seorang manusia politik megalothymia sentiasa percaya bahawa ‘seseorang harus berpegang kepada janji hanya apabila tindakan itu menguntungkan diri sendiri’. Hingga kepada satu peringkat manusia megalothymia dalam kehidupan politik menjadi ‘haiwan pollitik’ sepenuhnya yakni homo-politikus.

21 Mei 2020

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *