Hatyai Wittayakarn School Sebuah Pondok Moden Di Hatyai

Penyelidikan 1 : Hatyai Wittayakarn School Sebuah Pondok Moden Di Hatyai
S.M. Zakir

Bandar Hatyai merupakan bandar yang ketiga terbesar di Thailand dan merupakan bandar terbesar di selatan Thailand. Hatyai termasuk dalam daerah Songkhla dan ditadbirkan oleh seorang Gabenor. Namun sebagai sebuah bandaraya, Hatyai mempunyai seorang datuk bandar. Hatyai mempunyai penduduk seramai 157,242 orang di kawasan metropolitannya sementara 205,459 ini di pinggir bandarnya. Sementara keseluruhan penduduk wilayah Songkhla adalah seramai hampir sejuta orang. Wilayah Songkhla ini mengandungi empat daerah iaitu Hatyai, Songkhla, Sadao, dan Singha Nakhon. Komposisi penduduk Hatyai terdiri daripada bangsa Thai yang beragama Buddha, bangsa Melayu-Islam yang disebut sebagai Thai Muslim dan bangsa Cina. Penduduk Islam banyak terdapat di pinggir bandar, di kawasan yang disebut sebagai Hatyai-nai. Dari segi ekonomi Hatyai bergantung kepada sumber pelancongan dan terkenal sebagai salah satu destinasi pelancongan yang utama di Thailand selain daripada Bangkok, Chiangmai, Phuket, Krabi dan Pattaya. Selain daripada itu Hatyai juga sedang membina ekonominya melalui kegiatan bandar komersial, sementara ekonomi luar bandarnya tertumpu kepada sektor pertanian dan perikanan. Dalam pada itu, wilayah Songkhla turut berkembang sebagai sebuah pusat pendidikan yang penting di selatan Thailand. Terdapat lima buah institusi pengajian tinggi iaitu Thaksin University, Songkhla Rajabhat University, Rajamangala University of Technology dan dua buah institusi pengajian tinggi di Hatyai iaitu Prince of Songkhla University (PSU) dan University of Hatyai. PSU di Hatyai merupakan kampus yang terbesar daripada empat PSU lain.

Masyarakat Islam merupakan komuniti kedua terbesar di Hatyai. Jika mengambil kira jumlah populasi lima wilayah selatan, masyarakat Islam yang hampir kesemuanya berbangsa Melayu adalah komuniti terbesar di selatan Thailand. Lantaran itu masyarakat Islam memainkan peranan penting dalam pembangunan daerah-daerah di selatan Thailand ini bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga dalam bidang pendidikan. Peningkatan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan dalam masyarakat Islam Thailand membawa kepada penilaian semula terhadap sistem pendidikan yang paling ideal bagi menjana ummah yang bertakwa tetapi dalam masa yang sama setia menyumbang kepada pembangunan negara. Hal ini menimbulkan kontradiksi antara meneruskan pendidikan Islam dalam bentuk tradisi dan terpinggir dalam arus pendidikan moden, atau menyertai pendidikan moden dan menghilangkan asas didikan Islam. Dalam ertikata lain pendidikan moden dimaksudkan dengan sistem pendidikan sekular Barat yang berasaskan objektiviti sains dan teknologi. Sementara pendidikan Islam adalah tradisi pendidikan pondok yang menekankan hukum syariat Islam yang menolak keras bentuk pendidikan sekular. Hal ini membuatkan pendidikan Islam secara langsung terpinggir daripada subjek-subjek pendidikan moden sains dan teknologi yang menguasai dunia pada masakini. Dikotomi pendidikan Islam yang diwakili oleh sistem pendidikan pondok dengan pendidikan liberal yang merupakan sistem pendidikan rasmi kerajaan Thailand sering menimbulkan percanggahan dan persoalan dalam masyarakat Islam di Thailand.

Melihat kepada pentingnya pendidikan Islam dari tradisi pondok diselaraskan dengan pendidikan moden yang menguasai ilmu sains dan teknologi masakini maka sekumpulan pemimpin masyarakat Islam di Hatyai bergerak dan berusaha untuk menubuhkan sebuah sekolah yang menggabungkan kedua-dua sistem pendidikan tersebut. Hal ini penting bukan sahaja dalam usaha meneruskan tradisi pendidikan pondok tetapi dalam masa yang sama menyediakan ruang pendidikan yang dapat melahirkan insan-insan yang menguasai ilmu moden terutamanya sains dan teknologi. Bagi merealisasikan cita-cita ini sebuah koperasi Islam di Hatyai Thailand, iaitu Koperasi As-Siddeek Bhd. telah menubuhkan sebuah sekolah yang dapat mengadakan satu bentuk sistem pendidikan Islam yang diselaraskan dengan pendidikan moden. Hatyai Wittayakarn School yang terletak kira-kira 4 kilometer dari pusat bandar Hatyai ini boleh dikatakan sebagai sebuah sekolah pondok moden yang menggabungkan sistem pendidikan pondok dan sistem pendidikan moden. Hatyai Wittayakarn School ini terletak di kawasan penduduk muslim iaitu di Kualang.

Usaha dan persiapan untuk menubuhkan sekolah pondok moden ini telah bermula sejak tahun 1996 lagi oleh Koperasi As-Siddek atau As-Siddeek Savings Co-Operative Ltd. Koperasi As-Sideek yang ditubuhkan pada tahun 1994 bagi menjalankan operasi kewangan Islam telah berkembang pesat di kalangan masyarakat Islam Hatyai dan seterusnya bergerak merancang pembangunan umat Islam di Hatyai khususnya dalam bidang ekonomi dan pendidikan. Koperasi As-Sideek dipimpin oleh Kozee U-Seng yang merupakan pengasas dan Presidennya yang pertama. Koperasi As-Sideek turut mengambil langkah menubuhkan Yayasan Tarbiah dan Takmiah Islamiah pada tahun 1998. Penubuhan Yayasan ini telah menggerakkan rancangan penubuhan sekolah pondok moden ini ke arah yang jalan yang lebih cerah. Yayasan Tarbiah dan Takmiah Islamiah ini ditubuhkan di bawah undang-undang dan sokongan kerajaan Thailand. Yayasan Tarbiah ini menjadi jentera yang diamanahkan untuk menubuhkan sekolah pondok moden seperti yang dicita-citakan.

Langkah pertama yang diambil Koperasi As-Sideek di bawah Kozee U-Seng dan beberapa ahli lembaga koperasi ialah membeli tanah sebanyak 48 rai (1 rai bersamaan 1600 meter persegi) di kawasan Kualang tersebut dengan nilai harga yang mencecah jutaan baht. Wang yang digunakan sebagai modal pusingan untuk membeli tanah tersebut diperolehi daripada wang koperasi iaitu simpanan ahli-ahli koperasi dan hasil keuntungan daripada kegiatan perniagaan koperasi. Tanah tersebut dibahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian sebanyak 22 rai diperuntukan untuk pembinaan tapak sekolah. Sementara satu bahagian lagi iaitu sebanyak 26 rai dijual kepada orang ramai terutamanya ahli-ahli koperasi untuk membina rumah dan kegunaan bagi keperluan persendirian. Hasil daripada keuntungan penjualan tanah tersebut bersama sumber-sumber keuntungan lain daripada kegiatan perniagaan koperasi dan sumbangan derma telah digunakan untuk memulakan projek pembinaan sekolah.

Projek pembinaan sekolah telah dimulakan pada penghujung tahun 1990-an dengan kos sebanyak 30 juta baht. Pada tahun 2004 Hatyai Wittayakarn School siap dibina dengan sebuah bangunan sekolah, dua buah bangunan asrama untuk pelajar lelaki dan perempuan, sebuah madrasah, dan sebuah bangunan pentadbiran yang bersambungan dengan bangunan yang menempatkan makmal sains dan pusat sumber. Sekolah ini mula beroperasi pada tahun 2005. Ia diluluskan pada 1 Februari 2005 dan memulakan sesi pembelajaran pada 15 Mei 2005 dengan pelajar seramai 60 orang. Hatyai Wittayakarn School ini adalah sekolah menengah persendirian yang diluluskan di bawah Akta Pendidikan 15 (2) yang dikawal oleh Dewan Pendidikan Songkhla Kawasan Dua.

Hatyai Wittayakarn School diuruskan secara hierarkinya oleh Jawatankuasa Koperasi yang diketuai oleh Kozee U-seng, Jawatankuasa Yayasan Tarbiah dan Takmiah Islamiah, serta Jawatankuasa Sekolah yang diketuai oleh Anas Saeng-Aree, yang juga bertindak sebagai Pengetua Sekolah. Jawatankuasa pengurusan menetapkan enam objektif Hatyai Wittayakarn School iaitu;

  1. Membina pelajar supaya menjadi remaja yang berbakti, pintar dan berbahagia berdasarkan Islam.
  2. Dapat menguruskan kurikulum berdasarkan Dasar Pendidikan Negara Thailand tahun 2001.
  3. Untuk membangunkan pendidikan berdasarkan ajaran Islam yang dapat berhadapan dengan pelbagai cabaran globalisasi.
  4. Menyokong dan memberi sumbangan kepada pelajar miskin.
  5. Untuk menjadikannya sebagai pusat agama Islam, akademik, bahasa, masyarakat dan budaya yang tidak bercanggah dan melanggar ajaran agama Islam.
  6. Untuk menjadikannya sebagai pusat sumber dan dapat memberikan sumbangan dalam bidang akademik kepada masyarakat keseluruhannya.

Hatyai Wittayakarn School menggunapakai kurikulum Dasar Pendidikan Negara Thailand 2001 yang diluluskan di bawah Kementerian Pendidikan Thailand dan Kurikulum Agama Islam yang digubal oleh mudir-mudir yang bertauliah. Dalam pada itu pihak sekolah membangunkan kurikulum yang selaras dengan ajaran Islam, malahan membangunkan guru dan tenaga pengajar supaya dapat menyelaraskan Islam dalam pengajaran dan pembelajaran dengan tidak membebankan dasar pelajaran yang telah ditetapkan dalam kurikulum. Dengan itu Hatyai Wittayakarn School mengungkapkan falsafahnya sebagai, “Membina pendidikan berkualiti tinggi dan keseluruhannya selaras dengan Islam, membina remaja yang berbakti, bermoral tinggi, berkemahiran dalam pelbagai ilmu dan berkemahiran dalam bidang akademik, bahasa dan teknologi”. Bagi menetapkan segala cita-cita tersebut pada satu landasan yang lurus dan jelas Hatyai Wittayakarn School memberikan satu visi yang jelas iaitu, “Membangunkan sekolah supaya menjadi sekolah swasta berdasarkan kurikulum yang selaras dengan Islam. Pelajar bermoral tinggi, berkemampuan dalam bidang akademik selaras dengan kefahaman Islam, membaca al-Quran dengan betul, teguh dengan dasar agama Islam, bernilai murni, berkemahiran bahasa asing, berkemahiran komputer, berkreatif dan berdisiplin”.
Sementara misi bagi tenaga pengajar ialah;

  1. Mengadakan guru bahasa asing tiga bahasa; bahasa Arab, Melayu dan Inggeris.
  2. Menyokong, membina tenaga pengajar yang berkemahiran dasar akademik selaras dengan Islam
  3. Membina tenaga pengajar sebagai Muslim dan Muslimah yang berbakti serta dapat menjadi contoh kepada pelajar.
  4. Membina tenaga pengajar sebagai guru professional.
  5. Mengadakan guru pengawal yang berkemahiran dalam bidang tarbiah.
  6. Mengadakan kurikulum dalam membangunkan guru yang berkefahaman Islam supaya dapat membina pelajaran yang berselaras dengan Islam dan tuntutan Islam. Dalam ertikata lain mengadakan satu bentuk pengislaman ilmu (Islamization of Knowledges).

Sementara bagi pelajar pula ditetapkan misinya;

  1. Menggunakan proses tarbiah Islamiah, mentarbiahkan pelajar supaya menjadi pelajar yang baik dan berbakti mengikut proses Islam (Islamic Process) dalam membina moral.
  2. Memberi peluang kepada pihak ibu bapa supaya dapat menyelesaikan masalah pelajar.

Secara keseluruhan pembinaan Hatyai Wittayakarn School ini ialah untuk melahirkan para pelajar yang bermoral dan berakhlak tinggi sekaligus menyumbang kepada pembangunan negara. Dalam pada itu kurikulum yang digubal turut memberi penekanan kepada ilmu moden agar para pelajar lahir sebagai tenaga yang mampu bersaing bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di peringkat antarabangsa. Keseimbangan antara pembelajaran agama Islam dan pembelajaran ilmu moden juga amat dititikberatkan. Lantaran itu kurikulum akademiknya mengandungi tujuh (7) modul agama Islam dan juga tujuh (7) modul ilmu moden. Bagi memastikan para pelajar dapat mencapai visi yang ditetapkan, Hatyai Wittayakarn School ini dijadikan sekolah berasrama penuh. Semua pelajar ditempatkan di asrama dan penekanan terhadap kehidupan di luar kelas yang dipenuhi dengan aktitiviti pembangunan sahsiah berdasarkan Al-Quran diamalkan. Antara aktivitinya ialah seperi sembahyang berjemaah, qiyamulail, tadarus Al-Quran dan sebagainya.

Sehingga tahun 2008 ini terdapat seramai 226 orang pelajar yang terdiri daripada 103 orang pelajar lelaki dan 123 orang pelajar perempuan. Daripada jumlah tersebut seramai 166 orang pelajar menuntut di tingkatan satu dan dua serta 60 orang menuntut di tingkatan empat dan lima. Para pelajar ini merupakan pelajar perintis Hatyai Wittayakarn School ini. Sebagai sebuah sekolah persendirian, Hatyai Wittayakarn School mengenakan yuran seperti yang berikut;

YURAN JUMLAH (BAHT THAI)
Pendaftaran – 1000 baht
Komputer – 1000 baht
Asrama – 400 baht
Bahasa Inggeris – 1300 baht
Aktiviti Ko-Kurikulum – 2000 baht
JUMLAH – 5700 baht

Secara keseluruhannya yuran tahunan yang dikenakan agak rendah iaitu kira-kira RM570 Malaysia setahun. Menurut Pengetua Hatyai Wittayakarn School, Haji Anas Saeng-Aree pendapatan daripada yuran dikenakan tidak mampu untuk menampung kos operasi sekolah. Dengan itu pihak sekolah masih bergantung kepada sumber kewangan daripada Koperasi As-Sideek dan sumbangan daripada kalangan dermawan. Selain daripada itu kerajaan Thailand turut memberi bantuan dengan membayar 7000 baht setahun bagi setiap pelajar kepada sekolah. Bantuan daripada kerajaan Thailand ini sedikit sebanyak membantu dalam menjalankan operasi sekolah.

Haji Anas Saeng-Aree menyatakan bahawa tujuan sekolah ini ditubuhkan selain daripada mengadakan semacam sebuah sekolah pondok moden, ia juga adalah kerana memandangkan masyarakat Islam Thailand secara umumnya masih jauh ketinggalan dalam bidang pendidikan. Sekolah pondok yang ada sebelum ini tidak dapat menyediakan tenaga professional yang kompetetif dari segi pasaran kerja, bidang perekonomian, sains teknologi dan juga bidang akademik. Selain daripada itu pelajar-pelajar daripada sekolah pondok tradisional menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan sistem pendidikan moden apabila mereka memasuki universiti-universiti tempatan. Dalam pada itu, walaupun penduduk Islam merupakan penduduk terbesar di selatan Thailand dan 50 peratus daripada penduduk di Hatyai, tetapi jumlah penuntut Islam di universiti-univeristi tempatan di selatan Thailand ini tidak sampai pun 10 peratus daripada keseluruhan penuntut. Walaupun kerajaan Thailand membuka ruang dan memberikan skim galakan khas untuk pelajar-pelajar muslim melanjutkan pelajaran di universiti tetapi pelajar-pelajar muslim masih merupakan peratusan yang kecil berbanding pelajar bukan muslim. Maka itu penubuhan Hatyai Wittayakarn School ini adalah salah satu usaha yang pragmatik dalam meningkatkan taraf pendidikan masyarakat Islam di Thailand.

Menurut Haji Anas Saeng-Aree lagi, Hatyai Wittayakarn School mengamalkan dasar yang amat terbuka. Sekolah ini juga dibuka untuk pelajar-pelajar bukan Islam dari seluruh Thailand. Apa yang penting bagi sekolah ini ialah untuk menjadikannya sebagai sebuah sekolah yang dapat menyediakan sistem pendidikan yang bermutu tinggi di samping itu seimbang pembangunan jasmani dan rohaninya. Dengan itu, pihak sekolah berusaha mendapatkan tenaga-tenaga pakar bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa Melayu. Ini memandangkan penguasaan terhadap tiga bahasa ini akan menjamin pelajar-pelajarnya mampu bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa. Dalam pada itu pihak sekolah juga memberikan penekanan yang khusus terhadap pembangunan ilmu sains dan teknologi.

Sebagai sebuah sekolah baru, Hatyai Wittayakarn School masih memerlukan banyak perbelanjaan untuk mengurus dan menaik taraf sekolah. Pihak sekolah kini juga sedang membina sebuah bangunan asrama untuk menampung bilangan pelajar pada masa akan datang. Di samping itu pihak jawatankuasa koperasi dan sekolah juga bercita-cita dan kini sedang merancang untuk membangunkan sebuah sekolah rendah yang bercirikan Islam tersebut. Haji Anas Saeng-Aree dengan itu amat berharap jika ada pihak-pihak tertentu di dalam dan di luar Thailand khususnya di Malaysia dapat membantu dalam merealisasikan cita-cita murni masyarakat Islam di Thailand ini. Sebarang bentuk bantuan dapatlah disalurkan terus kepada pihak Hatyai Wittayakarn School yang beralamat di;

1332 Pechkasem Road, Hatai, Songhkla, Thailand

Atau menghubungi Haji Anas Saeng-Aree di talian (0066) 8-3058-8862 (pejabat) (0066) 8-1897-6791 (mobile) atau di emel ysnrx@yahoo.co.th. Sebarang maklumat lanjut juga boleh didapati di laman web www.wittayakarn.com.

Memandangkan Hatyai Wittayakarn School adalah sekolah persendirian dan tidak mendapat bantuan penuh daripada kerajaan, sebarang sumbangan amatlah dialu-alukan.