Kerajaan Melayu Singgora di Songkhla

Penyelidikan 2: Kerajaan Melayu Singgora di Songkhla
S.M. Zakir

Songkhla di selatan Thailand, asal mulanya adalah kerajaan Melayu-Islam Singgora. Sejarah awal Singgora terdapat pada catatan awal China pada abad ke 6 dan 7 M. Singgora juga disebut Singor, Sanjura, Sanjur, Senggora, Sung-kra dan Sung-Ch’ia. Tersebut dalam Salasilah Sultan Sulaiman (Sai Sakun Sultan Sulaiman) dikisahkan tentang saudagar Parsi bernama Datuk Muzaffar dari Jawa Tengah (ada catatan lain menyebut Datuk Monggol) bermastautin di Sitingpra, Singgora.

Kemudian mereka berpindah ke Teluk Singgora pada tahun 1603 M dan mendirikan kerajaan Singgora Darussalam (Hua Khoa Deng). Sultan Muzaffar Syah yang mentadbir Singgora adalah seorang panglima tentera yang fasih selok-belok ketenteraan dan bijak dalam strategi pentadbiran. Tidak mustahil wilayah jajahan baginda semakin meluas meliputi Patalung (Pathalung) Terang (Trang) dan Setul (Satun). Ketika ini Singgora menjadi tumpuan pedagang Eropa, Arab, Parsi, China, Jepang dan nusantara.

Apabila Sultan Muzaffar Syah mangkat pada tahun 1618, baginda diganti oleh putranya Sultan Sulaiman Syah. Sultan Sulaiman meneruskan usaha-usaha ayahandanya dengan membina tembok-tembok pertahanan dan bedil-bedil. Baginda sadar, kemakmuran dan kemasyhuran Singgora akan mendatangkan cemburu musuh-musuhnya. Baginda juga berusaha menggali terusan yang menghubungkan Teluk Singgora di pantai timur dengan Laut Andaman di pantai barat. Namun usaha juga gagal kerana adanya banjaran gunung yang besar.

Sepanjang pemerintahan Sultan Sulaiman, Siam (Thailand) tidak henti-henti melakukan serangan dan pencerobohan. Namun semuanya gagal dengan izin Allah. Apabila baginda mangkat, diganti pula oleh putranya Sultan Mustaffa Syah. Ketika pemerintahan baginda, Siam menyerang Singgora habis-habisan. Angkatan Siam diketuai oleh Phraya Ranchodo dan raja Siam ketika itu Raja Narai Maharaj. Siam turut dibantu Portugis dan Belanda. Kerajaan Singgora dapat ditewaskan pada tahun 1687 M. Orang Melayu-Islam Singgora ditawan dan dibawa ke Ayuthia. Siam juga merampas sepucuk bedil kepunyaan Sultan Sulaiman.

Sultan Sulaiman dan dua adindanya Hassan dan Hussein dipindahkan ke Caiya (Cahaya). Sultan Sulaiman dilantik menjadi pemerintah Siam di Caiya dengan gelaran Phraya Picit Phalodi Sipicai Songkram, Hussein dilantik Raja Muda Caiya. Putra mahkota Singgora, Taufik dibawa ke Ayuhtia dan Hassan dilantik sebagai laksamana tentera Siam oleh Narai Maharaj.

Melalui Salasilah Sultan Sulaiman, baginda menyatakan terdapat kerabat dan waris baginda yang menganut agama Buddha ketika berada di bawah tekanan Siam. Hal ini terjadi pada tahun 1687, titik tolak keruntuhan kerajaan Singgora oleh kerajaan Siam. Ada catatan penulis Cina (1782) Hsieh Ch’ing Kao tentang Songkhla, asalnya kerajaan Singgora, sebuah negara Melayu-Islam.

Dikatakan bahawa penduduk Melayu tidak memakan daging babi dan ketika berjalan sentiasa membawa senjata keris. Kaum wanitanya bertutup kepala dan lelaki berseluar. Semasa bekerja mereka menutup tubuh sampai ke tubuh dengan pakaian yang dipanggil sha-long ( sarung ). Pada abad ke 19, orang Melayu telah hilang di Singgora ( Songkhla ) dan hanya meninggalkan Hua Khao Deng dan pelabuhan Lem Son sebagai kenang-kenangan.

Almarhum Amin Sweeney pernah menterjemahkan syair yang ditulis dalam bahasa Arab (ketika pemerintahan Sultan Sulaiman Syah tahun 1618) pada bedil baginda. Bedil itu sekarang tersimpan di Royal Chelsea Hospital, London. Riwayat bedil tersebut berada di London adalah seperti berikut. Semasa tentera Siam mengalahkan Singgora pada tahun 1689 M, bedil tersebut telah dirampas dari Sultan Sulaiman dan dibawa ke Ayuthia. Bedil tersebut digunakan oleh Siam untuk memerangi Burma (Myanmar) sehingga Ayuthia tewas oleh Burma pada tahun 1767.

Bedil itu kemudian dibawa ke Burma sebelum dirampas pula oleh Inggeris dalam perang Inggeris-Burma. Pada tahun 1886, bedil itu dibawa pulang ke England. Begitulah bangsa-bangsa yang kononnya bijak dan kuat berebutan bedil buatan Melayu. Bedil itu bermatlumat sedemikian. Ukuran berat yang tercatat pada larasnya ialah 1 bandar, 2 pikul dan 4 kati. Bertarikh Isnin 4 Zulkaedah 1063 H bersamaan 26 September 1653 M.

Terdapat catatan dalam bahasa Burma. Diperolehi semasa menawan Dwarawati (Siam) pada tahun 1125 H atau 1766 M. Keistimewaan diskripsi bedil ini ditulis dalam bentuk syair Melayu-Arab dan diyakini merupakan syair tertua pernah tercatat pada bedil. Menurut sejarah bedil itu dipunyai Singgora selama 34 tahun, di Siam selama 79 tahun, di Burma 120 tahun dan di England lebih 120 tahun. Demikianlah keagungan Melayu-Islam Singgora yang cuba dihapuskan sejarahnya oleh maling-maling dunia.

Berikut adalah terjemahan Alm. Amin Sweeney syair yang terdapat pada bedil tersebut.

ya dha l-awwali wa’l-ilm
ya dha l-haqqi wa’n-ni’am
ya dha l-jadli wa’l-kiram
ya dha l-ba’si wa’n-niqam

Hadrat Ahmad Arabi nasab
Akan Tuhan dhatnya amat ajaib
Dengan bahasa ia ‘ilmu dan adab
Maha ketika dengan bahasa Arab

Ya man ghafurun wa ghaffar
Ya man shakurun wa saffar
Wa ‘lishurna ma’a ‘l-abrar
Subhana Allah, Allhu Akbar

Bedil diperbuat adalah sudah
Menyucap syukur ke hadrat Allah
Jadikan tanda meninggalkan mannah
Akan membunuh kafir ‘alayhi ‘l-la’nah

Ingat-ingat engkau hai anak dagang
ke tanah juga kita akan pulang
tuntuti olehmu ghazi berperang
janji Tuhan ke jannat datang

Darus-salam jannat juga
jannat tempat rahmat juga
penuh dengan nikmat juga
duduk kekal dengan suka juga

Daulat tuanku sebagai datang
seperti sabak air yang pasang
di taufiqi ‘Llahi rabbi l’-alam
dan binuri ‘l-iman tatkalanya datang

Jahat bebal hamba latehan
berbuat meriam dihadirkan
akan kafir syirik zalim ke neraka jahanam
akan dipandang sahabat meninggalkan zaman.