Alam Budaya Melayu

ALAM BUDAYA MELAYU
S.M. Zakir

Abstrak

Tajuk ‘Alam Budaya Melayu’ ini menggabungkan dua terminologi iaitu ‘kesatuan budaya’ dan ‘sudut pandang Melayu’. Kesatuan budaya merujuk kepada hubungan budaya dalaman dan hubungan budaya luaran yang terangkum untuk menjadi satu budaya yang diterima sebagai nilai sepunya masyarakat. Hubungan budaya dalaman ini melibatkan interaksi antara budaya alam Melayu, sementara hubungan budaya luaran melibatkan interaksi antara budaya alam Melayu dengan budaya di luar alam Melayu. Terminologi yang kedua iaitu ‘sudut pandang Melayu’ merujuk kepada pandangan dan falsafah alam Melayu yang merangkumi nilai sosial (etos), nilai emosi (pathos), dan nilai logik (logos). Sebelum melihat kepada kesatuan budaya, suatu bentuk pemahaman tentang ciri-ciri budaya yang wujud dan berinteraksi dalam konteks alam Melayu ini terlebih dahulu perlu dicapai. Seterusnya suatu bentuk sudut pandang dalam konteks ‘sudut pandang Melayu’ dikemukakan sebagai penyeluruhan terhadap tesis ini. Keseluruhan kertas ini mengetengahkan konsep budaya Melayu yang menyeluruh termasuk nilai-nilai utama yang mendasarinya.

Ciri-ciri budaya alam Melayu ini berkait rapat dengan hubungan geografi, sejarah asal usul dan evolusi sosial masyarakat alam Melayu ini. Secara geografinya alam Melayu ini terentang dari hulu sungai Mekong di wilayah Vietnam Tengah meliputi wilayah Kemboja, menyusur sempadan orang-Thai hingga ke Patani dan semenanjung Tanah Melayu membawa ke Gugusan Kepulauan Melayu dari Pulau Sumatera, Jawa, Sulawesi, Kalimantan-Borneo hingga Mindanao dan Luzon di Filipina. Alam Melayu ini berada dalam kawasan beriklim tropika dan khatulistiwa, mempunyai bentuk muka bumi kawasan berbukit bukau, lembangan tanah pamah dan kepulauan. Sebahagian daripada wilayah alam Melayu ini terletak di atas pelantar sunda. Pentas Sunda merupakan bahagian bongkah Asia yang terletak di selatan sekali. Pada masa dahulu tanah daratan di Asia Tenggara ini lebih luas daripada yang ada sekarang kerana paras laut adalah rendah. Maka dikatakan bahawa Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Sumatera bercantum sebagai satu daratan bersama-sama Pulau Jawa dan Kalimantan. Sementara pulau-pulau di sebelah timur Jawa seperti Sulewasi, Lombok dan Bali bersama-sama dengan Filipina dihubungkan dengan wilayah alam Melayu iaitu melalui sambungan siri lipatan dan gelinciran dari Sumatera dan Jawa mengikut garisan meridien. Apabila berlaku perubahan terhadap plat tektonik mungkin akibat gempa bumi, letupan gunung berapi dan peningkatan paras laut, sebahagian besar tanah daratan ini ditenggelami laut dan muncul Gugusan Kepulauan Melayu sepertimana yang ada pada masa sekarang ini. Pelantar Sunda ini dipercayai tenggelam sekitar 5000 tahun Sebelum Masehi .

Dari segi sejarah dan asal usul, kebudayaan awal di Asia Tenggara disebut corak kebudayaan Hoabinhian, iaitu mengambil sempena nama tempat galian arkealogi yang bernama Hoa Binh di utara Vietnam yang menunjukkan corak kebudayaan Mesolithic yakni menggunakan artifak-artifak batu yang merentangi sejarah selama lebih kurang 30,000 tahun di Asia Tenggara. Corak kebudayaan Hoabinhan ini merentang dari wilayah Champa iaitu di Vietnam Tengah menjalur masuk hingga ke penghujung semenanjung Tanah Melayu dan merentas kepulauan Sumatera hingga ke Australia.

Sementara itu pula, Robert Heine-Gerdern (1932) seorang sarjana bangsa Austria mengemukakan tesis tentang kewujudan kebudayaan Neolithic (Zaman Batu Baru) telah dibawa oleh kumpulan manusia yang disebut sebagai kelompok “Austronesian” ke Kepulauan Melayu antara 2,500 dan 1,500 tahun Sebelum Masehi. Geldern bersetuju dengan seorang ahli antropologi Barat iaitu P.E. Sarasin yang mengemukakan teori bahawa mereka yang membawa bahan-bahan Neolithic ini disebut sebagai Proto-Malay yang membawa kebudayaan Neolithic yang maju, dan dipercayai keturunan yang mendiami pedalaman Kepulauan Melayu. Sementara mereka yang datang kemudian dikenali sebagai Deutro-Malay yang membawa kebudayaan gangsa-besi, dan dikatakan keturunan penduduk pesisir Kepulauan Melayu. Menurut Sarasin dan Geldern kedua-dua gelombang manusia ini datangnya dari pedalaman sebelah Barat China, iaitu tempat terbitnya sungai-sungai besar di timur dan Asia Tenggara. Istilah Proto-Malay dan Deutro-Malay ini mula diperkenalkan oleh P. Sarasin pada tahun 1905.

Bagaimanapun Duyvendak nenafikan dengan keras adanya dua gelombang kemasukan orang Melayu ke Asia Tenggara. Beliau menegaskan bahawa pengetahuan mengenai logam telah dibawa masuk ke dalam masyarakat di kawasan pantai menerusi perhubungan dengan orang-orang luar oleh aktiviti pelayaran penduduk peribumi Asia Tenggara (Melayu) ini. Kebudayaan logam ini berasal dari negeri China dan Tongkin kira-kira tahun 300 Sebelum Masehi. Dalam Chien Han Shu China ada bukti-bukti yang nyata menunjukkan pertukaran dagangan di antara China dengan pelabuhan-pelabuhan Asia Tenggara. Dengan jalan inilah kebudayaan-logam atau kemudian ditandai oleh ahli arkeologi sebagai kebudayaan Dong-Son, menurut nama kampung di Tongking di mana bukti-bukti ditemui itu meresap masuk ke negeri-negeri Asia Tenggara . Hal ini menyatakan bahawa telah wujud kebudayaan asal yang berasal dari tanah Asia Tenggara ini sendiri yang berhubungan dengan wilayah-wilayah kebudayaan lain dan seterusnya saling menyerap kebudayaan masing-masing.

Ini dipertegaskan oleh kesepakatan sebahagian besar sarjana yang menyatakan bahawa ketika kedatangan pengaruh India ke Asia Tenggara, penduduk peribumi sudah mempunyai peradabannya yang tersendiri dan mereka bukan manusia primitif. Coedes menyebut sifat-sifat peradaban peribumi ini ialah; (i) bersawah padi, (ii) memelihara lembu dan kerbau, (iii) menggunakan logam sedikit-sedikit, (iv) mahir dari segi pelayaran, (v) memberikan kedudukan yang tinggi kepada kaum perempuan dan mementingkan keturunan dari pihak perempuan, (vi) kepercayaan animisme, (vii) menyembah nenek moyang dan dewa penjaga tanah, (viii) mendirikan tempat pemujaan di tanah tinggi, (ix) menanam mayat dalam tempayan atau dolmen, (x) mempunyai cerita dongeng dan mitos yang berkaitan dengan kepercayaan animisme, (xi) mempunyai bahasa-bahasa yang berlainan, dan banyak menggunakan penambahan awalan, akhiran dan sisipan, (xii) hidup berkelompok di kawasan pantai dan lembah sungai, terdapat juga di daerah pedalaman dan banjaran bukit-gunung. Sejarah China menamakan masyarakat di Asia Tenggara ini sebagai Kun Lun sementara sejarah India menamakan masyarakat ini sebagai Dvipantara yang bermakna ‘orang pulau’.

Satu penggalian di Non Nok Tha dalam sebuah gua yang dinamakan Spirit Cave telah memberikan sokongan yang kuat kepada teori Duyvendak dan Coedes. Ekskavasi ini menemukan dua penemuan penting iaitu tentang adanya cucuk tanam padi sekitar lebih kurang 5,000 tahun sebelum Masehi. Penemuan kedua menemukan pada masa yang sama sudah terdapat penggunaan logam gangsa (Chester F. Gorman, 1972). Berikutan penemuan-penemuan ini, muncul seorang sarjana Barat, Profesor Wilhem G. Solheim (1972) mengemukakan hipotesis bahawa Asia Tenggara bukan tempat ekoran kepada peradaban purbakala di Asia Barat, tetapi sebaliknya telah bermula satu corak peradaban yang lahir dari kawasan ini sendiri. Hipotesis ini menolak teori yang mengatakan bahawa pengaliran peradaban bukanlah dari luar iaitu dari benua India dan China ke dalam Asia Tenggara, tetapi adalah sebaliknya. Hal ini disokong oleh Cordes yang menyatakan bahawa orang-orang (alam Melayu) yang menerima kebudayaan India itu bukanlah orang-orang liar tetapi adalah kaum-kaum yang mempunyai tamadun sendiri yang tinggi. Hal ini dapat dilihat daripada kesenian dan senibina yang berkembang indah di Angkor, Pagan, Jawa Tengah dan dalam Kerajaan Champa Lama adalah berlainan daripada kesenian dan senibina Hindu dan Buddha di India. Ini memperlihatkan bahawa kebudayaan asli di Asia Tenggara ini telah berkembang secara berasingan, dan telah mempunyai peradabannya sendiri sebelum kedatangan pengaruh India ataupun China.

Penemuan di Spirit Cave menemukan kesan cucuk tanam dan binatang ternakan sejak 5000 tahun lebih awal daripada peradaban yang serupa di Asia Barat. Satu lagi penemuan penting di sini teknologi dan keahlian membuat tembikar yang baik mutunya sejak 10,000 tahun Sebelum Masehi. Penemuan di Spirit Cave ini merombak teori berkenaan corak kebudayaan Hoabinhian yang dikatakan mencorak kebudayaan Asia Tenggara sebelum ini.

Solheim kemudian mengemukakan satu rangka pertumbuhan kebudayaan alam Melayu yang terbahagi kepada empat period. Period pertama ialah zaman Lithic atau Zaman Batu, garis penghujungnya kira-kira 40,000 tahun Sebelum Masehi. Period kedua ialah Zaman Lignic atau Zaman Kayu, yang diletakkan perkembangannya dari 40,000 hingga 20,000 tahun Sebelum Masehi. Period ketiga ialah zaman Crystalitic yang berasaskan pertumbuhan teknik menggilap dan melicin alat-alat batu, sekitar 20,000 hingga 8,000 Sebelum Masehi. Zaman ini juga ditandai dengan kewujudan tanam-tanaman sebagai sumber makanan dan juga pemeliharaan binatang-binatang ternakan. Period keempat yang bermula pada 8,000 Sebelum Masehi hingga ke permulaan abad Masehi dilihat sebagai satu peringkat penting dalam pertumbuhan kebudayaan di Asia Tenggara. Peringkat ini menyaksikan berlakunya penghijrahan manusia dari wilayah pergunungan ke lembah-lembah dan juga mengharungi lautan ke pelbagai tempat yang membawa unsur dan corak kebudayaan Asia Tenggara hingga ke pelosok kepulauan Pasifik dan ke barat hingga ke Madagaskar. Pertumbuhan kebudayaan Asia Tenggara ini dikatakan tumbuh secara bersendirian dan berbeza daripada pertumbuhan kebudayaan di tempat lain seperti di Asia Barat mahupun di wilayah utara India dan China (Mohd Taib Osman, 1983).

Namun melihat dalam konteks organisasi sosial, pertumbuhan kebudayaan Asia Tenggara ini tidak diiringi suatu bentuk evolusi sosial yang memperlihatkan pembentukan organisasi sosial seperti kewujudan kota-kota, kubu-kubu dan sebagainya yang mencerminkan pegangan kuasa pusat. Pertumbuhan kebudayaan Asia Tenggara dalam konteks ini dilihat ganjil dan berbeza dengan pertumbuhan kebudayaan di tempat lain yang menyaksikan pembentukan organisasi sosial seperti kerajaan dan pusat pegangan kuasa. Bagaimanapun, ia mengambikira bahawa kemungkinan masyarakat pada ketika itu tinggal dalam unit-unit kecil yang terpisah dan hidup dalam dunia masing-masing dengan aman damai. Solheim kemudian mengemukakan teori bahawa sebelum tibanya pengaruh peradaban India telah wujud ciri-ciri dasar kebudayaan di kalangan penduduk Asia Tenggara yang wujud secara tersendiri (Mohd Taib Osman, 1983).

Ciri-ciri asasi peradaban asal peribumi ini ialah pengetahuan menanam padi sawah, menternak binatang, mengetahui hal pelayaran dan menggunakan logam. Di samping itu menurut N.J. Krom, syarat hidup berperadaban itu diiringi dengan kewujudan kesenian seperti wayang kulit, gamelan dan kepandaian membatik. Wayang kulit dalam bentuk asal itu kemudian diperbaharui dengan memasukkan cerita-cerita dari susastera India seperti Ramayana dan Mahabrata setelah kemasukan pengaruh India. Begitu juga alat muzik gamelan dan kepandaian membatik yang dipertembungkan dengan pengaruh dari budaya lain. Dari segi organisasi sosial pula, masyarakat peribumi asal membina corak unit-unit perkampungan yang saling berinteraksi secara parochial. Sementara dari segi kepercayaan, mereka mengamalkan kepercayaan animisme yang mempercayai semangat alam, fauna dan flora yang berdampingan dengan mereka. Namun corak kepercayaan ini juga mempunyai satu dasar yang unik iaitu kepercayaan kepada Dewa Agung (Supreme Being) yang satu, di samping dewa-dewa lain. Ini menunjukkan bahawa wujudnya satu rekonstruksi kepercayaan yang berhubungan dengan sejarah lampau yang tidak terjelaskan.

Setelah itu, peradaban Asia Tenggara ini menyerap pengaruh kebudayaan India sekitar abad Pertama Masehi hingga ke abad Ke-12 Masehi. Terdapat dua teori berkenaan kedatangan pengaruh India di alam Melayu ini. Pertama, pengaruh atau ciri-ciri Hindu-Buddha ini diperkenalkan oleh golongan Brahma yang alim dan terpelajar yang dijemput oleh pemerintah Negara-negara di Asia Tenggara untuk berkhidmat sebagai sami, guru dan penyair di istana. Kedua, penduduk Asia Tenggara yang terkenal sebagai pelayar-pelayar yang handal telah melawat beberapa pusat perdagangan, agama dan pendidikan di India lalu membawa pulang peradaban India ke Negara-negara mereka di Asia Tenggara . Perhubungan antara pelabuhan-pelabuhan di sebelah barat Asia Tenggara dengan India mungkin bermula semenjak zaman pra-sejarah lagi, dan ini bukanlah melibatkan daya usaha orang India sahaja tetapi juga terbukti bahawa orang Melayu juga adalah pelayar-pelayar yang handal serta telah berulang alik ke pelabuhan-pelabuhan India dan Ceylon. Samalah keadaannya dengan pedagang-pedagang India yang melawat pelabuhan-pelabuhan di Asia Tenggara terutamanya di Sumatera (D.G.E Hall terj DBP, 1987).

Namun setakat bukti yang ada di negeri-negeri yang dikatakan bercorak Hindu-Buddha itu, rakyat jelata dilihat tidak tersentuh oleh kebudayaan India. Mereka menerima kebudayaan India sebagai unsur baru tetapi masih teguh mempertahankan warisan peribumi dan kemudian mengolah unsur-unsur tersebut sesuai dengan amalan lama mereka. Oleh yang demikian susunan masyarakat mereka tidak tersentuh oleh pengaruh-pengaruh India. Contohnya sistem kasta dalam ajaran Hindu tidak wujud dalam sistem organisasi masyarakat di alam Melayu ini. Sebaliknya ia lebih memperlihatkan corak masyarakat asiatik yang berasaskan hubungan masyarakat pertanian. Pengaruh serta amalan Hindu-Buddha ini hanya beredar di dalam golongan raja dan bangsawan yang mengambilnya sebagai usaha untuk memperkuatkan kedudukan politik mereka. Ini memandangkan terdapat kepercayaan dalam agama Hindu bahawa raja itu adalah bayangan dewa. Prinsip ini disebarkan kepada rakyat sebagai memperkukuhkan kuasa politik mereka. Namun dari banyak segi, pengaruh Hindu-Buddha ini telah melalui olahan untuk menyesuaikannya dengan keadaan dan amalan masyarakat peribumi. Sifat agama Hindu yang mudah disesuaikan dengan amalan animisme terutama dari aspek ritualnya membolehkannya diolah untuk menyusun amalan animisme baru masyarakat peribumi. Lantaran itu, agama Hindu-Buddha lebih diterima oleh masyarakat Asia Tenggara ini dari aspek ritualnya dan bukan dari aspek falsafah keagamaannya. Sebagai contoh, fungsi pembinaan candi terlihat cengkaman pengaruh peribumi yang kuat. Candi-candi di sini bukanlah dibina sebagi kuil tempat pemujaan dewa-dewa seperti di India. Sebaliknya lebih merupakan tempat pertemuan rakyat dengan roh nenek moyangnya, terutama roh-roh raja. Candi Borobudur misalnya, secara simbolisnya mencerminkan nilai tertinggi Buddha-Mahayana, namun pada hakikatnya adalah tempat pemujaan nenek moyang dinasti Sailendra . Hal ini memperlihatkan pengaruh amalan animisme yang menjadi keperibadian budaya asal masyarakat Asia Tenggara.

Pengaruh India perlahan-lahan terhakis dengan kehadiran pedagang Arab-Islam pada abad ke-8 Masehi. Walaupun dikatakan pedagang Arab mula berhubungan dengan alam nusantara sejak zaman Rasulullah s.a.w lagi, yang melalui alam nusantara dalam menjalankan aktiviti perdagangan dengan China. Kedatangan pedagang Arab ini turut membawa penyebaran agama Islam ke alam Melayu. Pada peringkat awal Islam yang masuk ke alam Melayu ini ialah dari aliran Syiah. Pada zaman pemerintahan Abbasiyyah Al-Makmun (813-833) tercetus pemberontak Alawiyyah yang dipimpin Muhammad ibn Ja’far al-Sadiq. Pemberontakan ini bagaimanapun dipatahkan oleh Khalifah Al-Makmun. Sebahagian daripada kumpulan pemberontak yang diampunkan itu kemudiannya keluar dari tanah Arab dan berhijrah ke alam Melayu. Rombongan tersebut terdiri daripada seratus orang dan dipimpin oleh Nakhoda Khalifah. Rombongan ini tiba di Perlak, Sumatera pada tahun 1800, yang ketika itu diperintah oleh Meurah Sharh Nuwi yang dikatakan berketurunan Parsi. Turut serta dalam rombongan tersebut ialah Ali ibn Muhammad ibn Ja’far al-Sadiq yang kemudian dikahwinkan dengan Meurah Perlak tersebut dengan adik kandungnya Puteri Makhdum Tanshuri. Hasil daripada perkahwinan inilah lahirnya Sayyid Abd al-Aziz yang pada tahun 840 Masehi menjadi raja pertama Kerajaan Perlak dengan gelaran Sultan Maulana Abd al-Aziz Shah (Abd Rahman Hj Abdullah, 1990). Perlak menganut Islam aliran Syiah.

Selain daripada kedatangan orang Arab dari tanah Arab yang mengIslamkan Perlak ini, juga berlaku kedatangan orang Arab-Islam melarikan diri daripada Canton, China. Orang Arab-Islam telah lama membina petempatan mereka di Canton, sehingga jumlah mereka telah mencecah angka ratusan ribu orang. Pada tahun 878 Masehi berlaku permusuhan antara penduduk negeri China dengan masyarakat Arab Islam ini yang mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai penduduk Arab di Canton. Akibatnya ramai orang-orang Arab tersebut melarikan diri wilayah alam Melayu terutamanya di Sumatera dan Kedah.

Menjelang abad ke-13 dunia Islam di Asia Tengah menghadapi krisis besar. Pertamanya Perang Salib yag dilancarkan oleh pihak Kristian dari Eropah dan keduanya Serangan tentera Mongul yang menghancurkan Baghdad pada tahun 1258. Akibat daripada itu ramai daripada orang Islam di situ keluar dari tanah Arab sama ada menyelamatkan diri ataupun mencari kekuatan baru untuk menentang musuh-musuh Islam. Ramai daripada mereka akhirnya datang membanjiri alam Melayu. Antaranya ialah Syeikh Ismail dari Makkah dan Fakir Muhammad dari Malabar yang datang menyebarkan Islam ke Barus atau Fansur pada penghujung abad ke-13, diikuti oleh Lamri, Haru, Perlak akhirnya Samudera-Pasai yang berada di bawah pemerintahan Meurah Silu (1261-1289). Dengan nasihat Syeikh Ismail Meurah Silu ditukarkan namanya menjadi Sultan Malik al-Salih atau Sultan Malikussaleh. Namun menurut beberapa pengkaji, peranan Syeikh Ismail di sini sebenarnya ialah menukarkan ajaran Syiah kepada Mazhab Shafie. Kerana Makkah pada ketika di bawah naungan kerajaan Mamluk yang berpegang kepada Mazhab Shafie (Abd Rahman Hj. Abdullah, 1990).

Puncak kepada kegemilangan tamadun Islam ini ialah pengIslaman Melaka pada tahun 1414 yang berada di bawah pemerintahan Parameswara oleh Sayid Abd Aziz. Parameswara kemudiannya ditukarkan namanya menjadi Sultan Muhammad Syah. Melaka akhirnya berkembang bukan sahaja sebagai empayar kelautan Melayu yang mengambilalih peranan kerajaan Hindu Srivijaya tetapi juga menjadi pusat penyebaran Islam yang unggul di alam Melayu. Alam Melayu selepas menerima Islam akhirnya telah menjadi sebahagian daripada dunia Islam yang lebih luas.

Daripada pemerhatian di atas, peradaban Islam-Melayu mula bertapak sejak abad Ke-8 Masehi lagi. Peradaban Islam inilah yang memunculkan nama ‘Melayu’, sebagai pernyataan dan nama kepada zaman baru yang dibawa oleh Islam. Sebelum itu kebudayaan dan peradaban Asia Tenggara wujud dalam unit-unit yang terpisah mewakili wilayah geo-politik masing-masing dan tidak pernah muncul nama Melayu sebagai kesatuan unit-unit ini. Kedatangan Islam telah menyatukan unit-unit peradaban dan kebudayaan Asia Tenggara ke dalam konsep Melayu yang diertikan dengan masyarakat yang melalui satu revolusi kebudayaan dari zaman lama Animisme-Hindu-Buddha kepada zaman baru kebudayaan tamadun tauhid-Islam. Melayu akhirnya wujud sebagai rumpun atau kesatuan yang mewakili nilai-nilai hidup masyarakat Asia Tenggara dari jalur ras yang sama ini. Konsep Melayu ini kemudiannya berkembang ke peringkat yang lebih universal dengan menyatukan masyarakat peribumi dan penghijrah terkemudian atas dasar agama iaitu Islam. Budaya Melayu yang tergabung di dalamnya budaya asal dan pengaruh India menjadi satu sistem nilai yang berasaskan prinsip Islam. Islam akhirnya menjadi keperibadian utama kepada kebudayaan Melayu, lebih jauh jauh lagi Melayu dan Islam bersebati menjadi satu dalam mengemukakan tamadun baru alam Melayu. Maka kesatuan budaya menemui maknanya dalam Islam.

Jurai sejarah yang panjang ini memunculkan kepelbagaian budaya dan akhirnya tergabung untuk membentuk satu kesatuan budaya Melayu. Kesatuan budaya Melayu ini, sepertimana yang dikatakan oleh Robert J. Wolf, “Barangkali kebudayaan Melayu adalah seperti ini, ia merupakan sebuah almari yang di dalamnya terkandung pemberian-pemberian daripada lain-lain kebudayaan, yang tidak tersusun dalam satu-satu susunan tertentu. Tidak ada hubungan antara barang-barang di atas satu tingkat dengan yang di atas tingkat yang lain – ataupun perkaitan antara barang-barang yang di atas tingkat yang sama pun. Tetapi kesemua barang-barang itu adalah kepunyaan seorang inividu”. (Mohd. Taib Osman, 1981).

Hal ini memperlihatkan bahawa kebudayaan Melayu telah menyerap pelbagai bentuk kebudayaan baik dari segi hubungan dalaman iaitu budaya-budaya dari alam Melayu mahupun dari segi hubungan luaran iaitu budaya-budaya di luar alam Melayu. Pada peringkat awal kesatuan budaya Melayu berkisar kepada kesatuan antara budaya-budaya dari alam Melayu. Maka terlihat pengaruh Champa-Thai dalam persembahan Makyong, Menora dan Wayang Kulit di pantai timur semenanjung. Bahkan unsur utama melahirkan Mak Yong iaitu semangat padi, berasal dari nama Mak Hiang di utara turut mempunyai persamaan dengan jalur-jalur budaya di wilayah Melayu yang lain. Contohnya di Jawa semangat padi ini disebut sebagai Dewi Seri, yang juga mempunyai bentuk persembahan yang sama. Begitu juga pengaruh Jawa dalam seni persembahan dan seni muzik seperti gamelan di Palembang dan juga di Riau. Hubungan antara etnik rumpun Melayu ini saling berinteraksi untuk membina sebuah kesatuan budaya Melayu nusantara.

Peringkat kemudiannya menyaksikan kesatuan budaya Melayu menerima pengaruh-pengaruh luar yang datang baik sebagai pedagang mahupun ekspedisi ketenteraan. Maka terlihat hubungan luaran yang menyerap masuk ke dalam budaya Melayu dan akhirnya membina kesatuan budaya Melayu yang lebih pelbagai, luas dan universal. Muncullah pengaruh budaya India dalam seni persembahan seperti wayang kulit, ketoprak, kecak, barongan; adat perkahwinan seperti berinai, bersanding; adat pertabalan raja serta adat dalam mengerjakan pertanian dan sebagainya. Interaksi dengan pedagang Arab-Islam melahirkan pengaruh budaya Islam Arab dan Parsi seperti dalam tarian hadrah, rodat, dabus, dan zapin; dalam seni persembahan seperti marhaban, ghazal, boria, stambul dan bangsawan (berasal dari wayang Parsi); seni muzik seperti nobat, gambus, dan rebana; amalan perkahwinan, amalan kehidupan seperti menyambut aidilfitiri, bercukur, menyambut maulidur rasul dan sebagainya. Sementara pengaruh Portugis dapat dilihat dalam tarian joget dan lagu keroncong. Termasuk juga di sini ialah pengaruh dalam budaya makanan dan pakaian.

Kesatuan dalam budaya Melayu memperlihatkan hubungan dalaman dan hubungan luaran yang saling memberi dan menerima untuk membina sebuah kesatuan budaya yang unik dan kukuh. Kesatuan budaya Melayu adalah sebuah ruang yang dinamik, fleksibel dan sinkretis sifatnya. Dalam pada itu kesatuan budaya Melayu adalah sebuah ruang yang hidup dan masih menerima masukan pengaruh sehingga kini (untuk masa ini ialah pengaruh budaya moden Barat) dan terbuka kepada perkembangan dan perubahan sepanjang masa sehingga ke hari ini.

Bertolak pula kepada sudut pandang Melayu yang melibatkan nilai sosial, nilai emosi dan nilai logik, ia menjelaskan tentang dunia pemikiran dan falsafah masyarakat Melayu terhadap kesatuan budaya yang wujud dalam alam Melayu ini. Dari sudut nilai sosial (etos), masyarakat Melayu menyusun organisasi sosialnya berasaskan unit keluarga. Susunan yang disebut sebagai primate order ini menyaksikan perkembangan masyarakat bermula daripada unit keluarga, kerabat, keturunan, sehingga kepada ras etnik. Organisasi sosial ini bermula dari unit-unit perkampungan, pekan, pelabuhan, bandar sehingga kepada negeri-negeri. Nilai sosial daripada susunan begini dilihat berhubung rapat dengan persekitaran ekologi serta alam fauna dan flora. Maka nilai sosial yang terbentuk daripada alam pertanian ini membentuk sistem kepercayaan kepada semangat alam (tumbuhan, galian dan kosmologi).

Pada zaman pra-Islam masyarakat alam Melayu ini mempercayai tentang hubungan manusia dengan alam roh, yang diangkat sebagai alam suci. Prinsip kesucian ini adalah berdasarkan konsep kepercayaan kepada Dewa Tunggal (Supreme Being) yang mengatur kehidupan manusia. Maka terbentuk beberapa nilai sosial yang asas daripada prinsip kesucian ini yakni: mempunyai dewata raya yang berkuasa ke atas kehidupan manusia; mempunyai adat kebiasaan yang berisi nilai-nilai luhur; mempunyai atur cara atau kitab penuntun kehidupan (kitab dalam bentuk lisan dan bertulis dalam bentuk tablet dsbnya); mempunyai hukum penegak keadilan dan kesucian hidup, serta pelaksanaan kepatuhan masyarakat terhadap pemimpin. Dalam praktik kehidupan masyarakat pra-Islam ini mempercayai kehidupan dan kematian adalah di bawah kuasa dewata raya. Maka di atas kepercayaan tentang kuasa dewata raya itu, masyarakat membuat hubungan dengannya untuk memohon kebahagiaan serta keselamatan hidup jasmani dan rohani. Dalam masa yang sama mereka mempercayai kewujudan kuasa-kuasa jahat yang sentiasa berusaha untuk menghancurkan kebahagiaan dan keselamatan mereka. Maka muncullah upacara-upacara untuk memohon keselamatan daripada kuasa jahat, perlawanan terhadap kuasa jahat dan kesyukuran terhadap kemenangan mengalahkan kuasa jahat. Dalam praktik upacara ini lahirlah bentuk-bentuk persembahan berbentuk teaterikalisasi dan muzikalisasi. Dalam masa yang sama juga bentuk upacara atau ritual berkaitan kehidupan mereka seperti mencari rezeki, menyambut kelahiran, perkahwinan, membina petempatan, perubatan, kematian dan sebagainya turut membentuk budaya persembahan teater-lakon dan muzik-nyanyian.

Dasar kepada nilai sosial ini kemudian berkembang dengan kemasukan nilai Hindu-Buddha. Nilai Hindu Buddha ini merangkumi sistem agama Hindu, amalan-amalan yang berbentuk ritual, kesusasteraan, adat istiadat diraja dan susunan pentadbiran serta undang-undang, perbendaharaan kata Sanskrit dan mitos-mitos tentang kosmos. Pengaruh terbesar agama ini ialah dari segi mewujudkan satu pandangan hidup baru yang berasaskan doktrin kosmologi. Menurut dasar kosmologi ini, kosmos atau alam semesta ini mempunyai dua bahagian: makrokosmos dan mikrokosmos, ayau alam ghaib dan alam nyata. Sesuai dengan cita-cita tertinggi agama Hindu untuk melenyapkan kesengsaraan itu ialah dengan bersatu kembali antara atman dengan Brahman, maka tujuan tertinggi bagi pandnagan hidup seperti ialah untuk mencapai keharmonian antara makrokosmos dengan mikrokosmos. Raja merupakan pusat kekuatan kosmos, atau penghubung antara kedua-dua bentuk kosmos tersebut. Dari sinilah timbulnya konsep ‘Dewaraja’ iaitu raja dianggap sebagai keturunan atau penitisan dewa Buddha-Mahayana. (Abdul Rahman Haji Abdullah, 1990). Kedudukan sebagai ‘Dewaraja’ inilah yang mewujudkan sistem feudalisme-asiatik yang melahirkan taat setia rakyat secara membuta tuli terhadap raja.

Pengaruh India ini juga turut menyebarkan dalam senibina. Istana raja telah dibina di tengah-tengah ibu negeri, dan lazimnya dibina di kawasan yang lebih tinggi sebagai satu replika pergunungan kosmik yang dikenali sebagai Mahameru. Gunung Mahameru ini dipercayai merupakan tempat tinggal atau rumah tuhan yang terletak di tengah-tengah alam semesta (S. Singaravelu, 1993). Menurut doktrin Hindu, alam semesta ini terdiri daripada Jambudvipa, sebuah benua berbentuk lingkaran yang dikelilingi oleh tujuh buah samudera, tujuh buah benua lain yang ditutup oleh gunung-gunung besar. Di tengah-tengah alam semesta berdirilah Gunung Mahamera, Gunung Kosmos yang dikelilingi oleh matahari, bulan dan bintang (Robert Heine-Geldern). Pengaruh kosmologi Hindu ini mewujudkan ciri-ciri senibina yang bukan sahaja melambangkan doktrin kosmologi ini tetapi juga aturan sosial yang berkasta-kasta dalam masyarakat. Pengaruh India ini juga meninggalkan kesan yang amat besar dari segi bahasa dan kesusasteraan sehingga ke hari ini. Bahasa Melayu telah mengalami penyerapan besar-besaran bahasa Sanskrit, dan turut juga membawa susastera India yang besar seperti Ramayana dan Mahabratta. Walau bagaimanapun penyerapan pengaruh India ini boleh dikatakan hanya berlegar di sekitar istana, dan diolah kepada penyesuaian amalan tradisi masyarakat peribumi apabila keluar dari lingkungan istana. Maka itu pengaruh Hindu-Buddha hanya meninggalkan pengaruh dari segi aturan sosial tetapi tidak kepada aturan kepercayaan masyarakat peribumi.

Dan akhir sekali nilai sosial ini menjadi lebih tersusun dengan munculnya Islam untuk menjadi nilai asas kepada masyarakat Melayu. Islam membawa rasionalisme dan pengetahuan akliah serta menegaskan satu bentuk sistem masyarakat yang berdasarkan kebebasan, keadilan, dan kemuliaan keperibadian insan. Peraturan keagamaan dan kemurnian batin serta ilmu (tasawuf) mengenainya tersebar luas dan mencengkan dalam sanubari masyarakat Melayu. Islam membawa semangat rasional dan intelektualisme bukan sahaja di kalangan raja-raja dan golongan bangsawan tetapi juga menyebar di kalangan rakyat jelata. Ini terbukti daripada risalah-risalah yang ditulis berdasarkan keperluan umum. Risalah-risalah tasawuf dan agama Islam ini ditulis berdasarkan ilmu yang merangkumi bidang ontologi, kosmologi, psikologi, sejarah, siasah, etik dan estetika yang cukup saintifik dan sosficated, bahkan mencapai tingkat serius dan rasional yang tinggi.

Islam menekan tentang hakikat manusia sebagai kepunyaan Allah s.w.t, dan dengan itu harus mengabdikan dirinya melakukan suruhan-Nya serta mendapat balasan dari-Nya. Maka itu din (agama) merujuk kepada menyerahkan diri kepada pengabdian terhadap Allah s.w.t. Din berkait rapat dengan ketetapan semulajadi manusia untuk menyerah dan menyembah Allah s.w.t, yang kemudian membentuk kebiasaan, budaya, dan peraturan yang berasaskan wahyu-Nya. Dalam konteks ini din merujuk kepada keadaan semulajadi maujud (natural state of being) yang disebut sebagai fitrah. Fitrah adalah corak dan bentuk setiap kewujudan yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Contohnya secara fitrah biji akan menumbuhkan pokok, bukan haiwan atau galian. Ini kerana fitrahnya biji itu akan menjadi pokok. Begitu juga dengan fitrah manusia bahkan seluruh kewujudan semesta ini, ia datang daripada-Nya dan kembali kepada-Nya. Maka dalam konteks ini din adalah fitrah, iaitu aturan dan baiat pengabdian manusia kepada penciptanya. Pengabdian ini (sunnat-Allah) membawa kesejahteraan sebaliknya pengingkaran akan membawa kehuru haraan. Penyerahan dalam konteks din Islam ini ialah penyerahan yang bersifat menyeluruh, mutlak, dan abadi – merujuk kepada apa yang disebut sebagai aslama.

Nilai-nilai Islam ini seterusnya membentuk zaman baru yang melahirkan tamadun-tamadun Islam-Melayu di alam nusantara ini. Budaya-budaya yang berasaskan pengaruh Hindu-Buddha dan kemudiannya Islam ini turut melahirkan bentuk-bentuk persembahan teater-lakon dan muzik-nyanyian yang menjadi budaya masyarakat. Di samping ia turut melahirkan bentuk budaya baru yang didatangkan dari negeri-negeri yang menyebarkan pengaruh agama dan politik tersebut.

Sehingga kini terlihat jelas bahawa nilai-nilai Islam telah menjadi asas kepada nilai sosial masyarakat Melayu dan seterusnya menjadi ‘kanta besar’ kepada sudut pandang Melayu. Dalam ertikata lain Islam adalah etos masyarakat Melayu.

Nilai emosi (pathos) masyarakat Melayu ini pula berkait rapat dengan sentimen yang dibentuk oleh ruang psikologi mereka. Ruang psikologi ini melibatkan apa yang disebut sebagai kehadiran lambang-lambang; iaitu lambang alamiah (natural) dan lambang budaya (cultural). Lambang alamiah melibatkan bayangan-bayangan dasar yang arkaik. Ia kembali kepada akar-akar arkaik yang menemukan idea dan bayangan dari arkib-arkib kuno dan masyarakat primitif. Dalam ertikata lain ia merupakan arkib primer dalam perkembangan psikologi masyarakat Melayu. Sementara lambang budaya merupakan lambang-lambang yang telah digunakan untuk mengungkapkan ‘prinsip-prinsip kesucian’ yang digunakan dalam resam, kepercayaan dan agama. Ia lebih merupakan lambang-lambang sekunder dalam perkembangan psikologi masyarakat Melayu. Kedua-dua lambang ini melewati satu proses perubahan yang panjang dan menjadi bayangan-bayangan kolektif yang diterima oleh masyarakat Melayu. Satu aspek menarik yang muncul di sini ialah aspek numinosum (supernatural) atau “aspek yang mempesona”. Aspek ini melibatkan unsur ruh, semangat, alam batin yang berhubung dengan fenomena semulajadi. Aspek ini berkaitan dengan kewujudan satu titik dalam diri manusia iaitu titik tentang gambaran Tuhan (imago dei) yang merupakan lambang arkitaip yang paling bernilai dan terdapat dalam lapisan terdalam ruang psiki manusia. Manusia menghadapi paradoks-paradoks yang membingungkan, dan titik (kepercayaan/agama) dalam ruang imago dei itu kemudian bergerak menjadi punca kepada jalan keluar yang bererti. Kepercayaan atau agama ini merupakan pokok kepada psiki manusia yang mencari arah dan erti hidup. Ia menyelamatkan manusia daripada jatuh ke dalam kekosongan kehidupan. Melihat kepada hal ini, nilai-nilai emosi masyarakat Melayu berhubung rapat dengan alam dan sistem kepercayaan yang diamal serta dihayati oleh mereka. Kehadiran Islam telah membentuk nilai emosi yang berasaskan tauhid dan penyerahan mereka kepada Allah s.w.t. Seterusnya membentuk masyarakat Melayu kukuh dan berakar kejap kepada prinsip-prinsip Islam.

Nilai logik (logos) masyarakat Melayu akhirnya berhubungkait dengan sosiopolitik masyarakat Melayu. Pembentukan organisasi yang berasaskan garisan patrilineal, iaitu lelaki sebagai ketua keluarga membentuk masyarakat patriakisme yang berfungsi menjadi pelindung kepada unit-unit masyarakat, desa dan negeri. Dasar perlindungan ini juga menitik beratkan ‘perlindungan’ terhadap wanita. Lantaran kuatnya ‘dasar perlindungan’ ini masyarakat Melayu adakalanya dilihat sebagai sebuah masyarakat matrialineal/matriakisme (masyarakat Minangkabau dsbnya). Nilai logik yang berkaitan dengan perkembangan sosiopolitik ini kemudian melahirkan peraturan dan undang-undang yang dilegitimasikan oleh masyarakat Melayu. Perkembangan nilai logik dalam masyarakat Melayu melalui zaman yang sangat panjang. Kedatangan pengaruh Hindu-Buddha memperkembangkan nilai logik ini kepada pengukuhan institusi raja, yang mengangkat raja sebagai ‘bayangan dewa’. Ia kemudian diperkukuhkan dengan ciptaan-ciptaan upacara bagi menanamkan ‘kepercayaan’ ini kepada masyarakat. Namun kedatangan Islam kemudiannya menukarkan pandangan atau nilai logik untuk melihat bahawa agama itu harus ditanggapi secara rasional. Maka konseptual yang menyatakan manusia itu sebagai ‘dewa atau tuhan’ dimansuhkan. Sebaliknya masyarakat dibimbing untuk menyedari dan menginsafi kewujudan Allah s.w.t iaitu Tuhan Yang Maha Esa, tidak beranak dan diberanakkan. Nilai logik masyarakat Melayu mula memasuki frasa baru; iaitu frasa rasional dan vertikal. Nilai logik yang berhubung rapat dengan frasa rasional dan vertikal yang berhubungan dengan prinsip dan pencirian Islam ini akhirnya membina sudut pandang Melayu yang paling asasi.

Alam budaya Melayu melibatkan hubungan antara kesatuan budaya dan sudut pandang Melayu ini memperlihatkan tentang wujudnya satu tradisi Melayu yang panjang dan kukuh mengikut jalur masa yang relatif dengan perubahan semasa. Ia melibatkan lapisan pra-sejarah, lapisan zaman Hindu-Buddha, dan lapisan tamadun Islam. Ketiga-tiga lapisan ini mencorakkan alam budaya Melayu yang amat kaya dan unik. Setiap lapisan yang menindan lapisan terdahulu, turut menyerap serba seditkit unsur budaya laipsan budaya yang ditindannya melalui penyerapan dan penyesuaian. Hingga akhirnya lapisan budaya Melayu ini dibalut oleh lapisan Islam yang memberikan keperibadian yang paling jelas terhadap ertikata dan makna Melayu tersebut. Melayu mula muncul sebagai konsep ketamadunan melambangkan suatu bentuk perkumpulan manusia yang lebih tersusun (berilmu, rasional) serta beragama dengan pegangan kepada Allah Yang Esa. Dari sini wujudnya pemerintah atau raja, hierarki sosial, negara, kota, undang-undang, penghidupan dengan segala seginya, kesantunan budaya, ilmu pengetahuan, penerokaan fizik dan metafizik serta hubungan yang signifikan dan lebih bererti terhadap vertikaliti Manusia-Alam-Tuhan.

Kesatuan budaya Melayu akhirnya muncul dengan sifat yang sangat universal. Dalam pada itu sudut pandang Melayu ini berkaitan dengan nilai-nilai sosial, emosi dan logik yang telah melalui satu evolusi yang panjang dan akhirnya berdiri di atas landasan prinsip-prinsip Islam. Bagaimanapun prinsip-prinsip Islam ini menyerap nilai luhur budaya Melayu yang berasaskan adat tradisi dan sifat masyarakat nusantara yang lebih permisif dan sinkretis. Kesatuan budaya dari sudut pandang Melayu ini memperlihatkan kerukunan alam yang terangkum di dalamnya hubungan vertikal manusia-alam-Tuhan, dan masa yang sama memperlihatkan tentang kewujudan sebuah masyarakat awal di dunia.

Rujukan

Abdul Rahman Haji Abdullah (1990). Pemikiran Umat Islam di Nusantara. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Amat Juhari Moain (1990). Kepercayaan Orang Melayu Berhubung dengan Pertanian. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Amran Kasimin (1989). Istiadat Perkahwinan Melayu: Satu Kajian Perbandingan. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Carl Gustav Jung (1986). Approaching the Unconscious in Man and his Symbols. Picador Publication. London.

D.G.E Hall (terj), (1987). Sejarah Asia Tenggara. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

E.H.G. Dobby (ter. 1982). Asia Tenggara. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Ismail Hussein, Wan Hashim Wan Teh & Ghazali Shafie (1990). Tamadun Melayu Menyonsong Abad Ke-21. Edisi Kedua. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Selangor.

Ismail Hussein, A. Aziz Deraman & Abd Rahman Al-Ahmadi (1993). Tamadun Melayu Jilid Satu. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Mohd Taib Osman (1981). Bunga Rampai Kebudayaan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.
Mohd. Yusof Hassan (1991). Dunia Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Muhammad Abu Bakar, Amarjit Kaur & Abdullah Zakaria Ghazali (1984). Historia. Persatuan Sejarah Malaysia. Kuala Lumpur.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas (1972). Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Kuala Lumpur.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas (1972). Islam Faham Agama dan Asas Akhlak. Angkatan Belia Islam. Kuala Lumpur.

William A. Haviland (1987). Cultural Anthropology. 5th Edition. Saunders College Publishing. United State of America.

Jurnal

Etnimusikologi. Volume 1, Nomor 3, Januari 2006. Jurnal Ilmu Pengetahuan dan Seni. Departemen Etnomusikologi, Universitas Sumatera Utara. Medan, Indonesia.

Tenggara. Journal of Southeast Asian Literature. 1987. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

2 thoughts on “Alam Budaya Melayu

  1. Pihak Qew Communications Sdn. Bhd. dengan rasa rendah diri menjemput saudari/saudara untuk memeriahkan Acara Prelude International Malay Art and Culture di Muzium Warisan Melayu, UPM, Serdang pada 21 – 23 NOVEMBER 2014. Kehadiran anda amat dihargai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *